suria

Da’i Syed direman 5 hari untuk siasatan kes rogol gadis

Pendakwah muda, Da'i Syed ditahan reman selama lima hari.

PENDAKWAH muda, Da'i Syed direman lima hari bermula Jumaat sehingga Selasa depan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan atas dakwaan merogol seorang gadis di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor pada September tahun lalu.

Perintah reman terhadap suspek yang berusia 25 tahun itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah, Mohd. Zamir Suhaimee pada Jumaat.

Suspek yang dicungkil bakat menerusi sebuah rancangan realiti keagamaan hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira pukul 9.45 pagi bersama peguam, Syed Amirul Syed Edrus dilihat memakai baju berwarna hijau.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa dakwa nak ubati penyakit murung akhirnya dirogol... Polis tahan Da'i Syed bantu siasatan

Pada malam Khamis, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan memberitahu pendakwah tersebut ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah itu.

Baharudin berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis oleh mangsa yang berusia 23 tahun pada pukul 7.18 malam, Rabu lalu.

“Dalam kejadian sekitar pukul 8 malam itu mangsa perempuan berusia 23 tahun telah keluar dengan suspek yang baru dikenali di laman sosial Instagram dengan menaiki kereta milik suspek jenis BMW untuk membuat perbincangan berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi dengan kaedah perubatan Islam.



Ustaz selebriti ini hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam pada pagi Jumaat.

“Suspek telah membawa mangsa makan di kedai makan di kawasan Batu 3, Shah Alam dan selepas makan, mangsa telah dibawa ke rumah suspek di Seksyen 7 dengan alasan untuk memberikan penerangan bagaimana boleh keluar dari penyakit kemurungan.

“Mangsa telah dirogol oleh suspek dan mangsa tidak terdaya hendak melawan serta tidak tahu cara mahu keluar dari tempat tersebut, ” katanya.

Mangsa mendakwa dia diberikan amaran supaya merahsiakan kejadian tersebut sebelum pulang keesokan harinya menggunakan perkhidmatan e-hailing ke rumahnya di Subang Jaya.

Mangsa juga dikatakan mengalami tekanan perasaan yang teruk dan menerima rawatan psikitari di Hospital Kajang pada 23 September tahun lalu.

Seterusnya mangsa telah pulang ke rumah keluarganya di Pahang serta mendapat rawatan selama lima hari di wad psikitari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.



Da'i Syed buat laporan polis menafikan diri terlibat kes rogol seperti ditularkan di laman Twitter, baru-baru ini.

Pada Selasa lalu, Da'i Syed tampil membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan dia terbabit dalam kes rogol seperti yang ditularkan di Twitter.

Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail turut memuat naik kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan di Instagram pada Rabu lalu.

Sebelum ini, bapa kepada pendakwah muda itu iaitu Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail menerusi laman Facebook mengakui sudah lama mendengar berita buruk yang membabitkan anaknya.

Malah, dia turut mendedahkan anaknya mengabaikan segala mesej yang dihantarnya sejak dua tahun lalu.

Berikutan dakwaan yang tular, Syed Mohammad Shaiful menasihati agar pihak yang mendakwa menjadi mangsa segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain