suria

Mangsa dakwa nak ubati penyakit murung akhirnya dirogol... Polis tahan Da'i Syed bantu siasatan

Pendakwah muda ditahan polis bagi membantu siasatan.

SELEPAS beberapa hari membuat laporan atas dakwaan fitnah merogol gadis, pihak polis seterusnya bertindak menahan Da'i Syed pada Khamis malam bagi membantu siasatan kes itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Sahat, suspek berusia 25 tahun itu ditahan sekitar pukul 11 malam selepas hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk memberi keterangan ekoran laporan polis daripada mangsa rogol pada Rabu lalu.

Pendakwah yang dicungkil bakatnya daripada program realiti itu didakwa melakukan perbuatan jijik tersebut di Studio I-Soho, Seksyen 7, Shah Alam dalam kejadian pada 11 September tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Da’i Syed buat laporan polis dituduh rogol gadis - “Ini fitnah paling buruk sejak jadi pendakwah!”

“Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu mangsa perempuan berusia 23 tahun telah keluar dengan suspek yang baru dikenali di laman sosial Instagram dengan menaiki kereta milik suspek jenis BMW untuk membuat perbincangan berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi dengan kaedah perubatan Islam.

“Suspek telah membawa mangsa makan di kedai makan di kawasan Batu 3, Shah Alam dan selepas makan, mangsa telah dibawa ke rumah suspek di Seksyen 7 dengan alasan untuk memberikan penerangan bagaimana boleh keluar daripada penyakit kemurungan.

Pendakwah tersebut dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman.

“Mangsa telah dirogol oleh suspek dan mangsa tidak terdaya hendak melawan serta tidak tahu cara mahu keluar dari tempat tersebut, ” katanya.

Menurut Baharudin lagi, sehari selepas kejadian iaitu pada 12 September 2019, sekitar pukul 6.40 pagi, suspek didakwa memberikan amaran kepada mangsa supaya merahsiakan apa yang berlaku dan memberi amaran yang mangsa sentiasa dipantau pada setiap masa.

Tambahnya lagi, suspek terus menghantar mangsa ke bawah lobi apartment dan mangsa menaiki Grab untuk pulang ke rumah sewa mangsa di Subang Jaya.

Bagaimanapun pada 23 September 2019 mangsa telah dimasukkan ke Hospital Kajang kerana mengalami tekanan perasaan serta dirujuk ke rawatan psikiatri.

“Pada Oktober 2019, mangsa telah balik ke rumah keluarga di Triang, Pahang serta telah mendapat rawatan semula di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh dan ditahan di wad psikiatri selama lima hari.

“Pihak Hospital Temerloh mengatakan mangsa telah mengalami tekanan perasaan yang teruk serta trauma akibat daripada kejadian tersebut dan sehingga laporan polis ini dibuat, mangsa masih menerima rawatan susulan di hospital yang sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan suspek yang ditahan di lokap IPD Shah Alam direman pagi Jumaat untuk membantu siasatan lanjut.

Pada Selasa lalu, Da'i Syed tampil membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan dia terbabit dalam kes rogol seperti yang ditularkan di Twitter.

Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail turut memuat naik kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan di Instagram pada Rabu lalu.

Sebelum ini, bapa kepada pendakwah muda itu iaitu Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail menerusi laman Facebook mengakui sudah lama mendengar berita buruk yang membabitkan anaknya.

Malah, dia turut mendedahkan anaknya mengabaikan segala mesej yang dihantarnya sejak dua tahun lalu.

Berikutan dakwaan yang tular, Syed Mohammad Shaiful menasihati agar pihak yang mendakwa menjadi mangsa segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain