suria

Hubungan keruh Da’i Syed dengan bapa terjawab - “Beliau tak bersetuju saya untuk menyertai program televisyen”

Hubungan Syed dengan bapanya tidak baik sejak 2016.

PENDAKWAH muda Da'i Syed menegaskan kemelut antara dia dan bapanya iaitu Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum.

Biarpun tidak berkongsi secara terperinci, Syed, 25, mengakui mereka tidak mempunyai hubungan baik selepas dia memilih untuk menyertai program Da'i pada 2016.

ARTIKEL BERKAITAN: Susulan dakwaan merogol, bapa Da'i Syed minta mangsa lapor polis - “Tinggalkan dunia selebriti dan kembalilah ke jalan Allah”

Syed berkata, bapanya itu telah berpindah ke Cairo, Mesir selepas berpisah dengan ibunya pada 2017.

"Saya percaya bahawa keadaan sebenar hubungan antara ayahanda dan saya adalah perkara peribadi yang perlu disimpan sendiri.



Da'i Syed muat naik kenyataan rasmi di Instagram.

"Cukuplah sekadar saya menyatakan bahawa ayahanda telah lama meninggalkan ibu sejak tahun 2017, lantas berpindah ke Cairo, Mesir.

"Hubungan antara kami berdua keruh seawal tahun 2016 apabila beliau tidak bersetuju dengan pilihan kerjaya hidup saya untuk menyertai program Da’i yang ditayangkan di televisyen.

"Namun atas hormat seorang anakanda kepada ayahandanya, saya terima nasihat yang diberikan itu dengan hati terbuka," kata Syed.

Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail mendedahkan perkara itu dengan memuat naik kenyataan rasmi di Instagram pada Rabu.

Cukuplah sekadar saya menyatakan bahawa ayahanda telah lama meninggalkan ibu sejak tahun 2017.

DA'I SYED

PENDAKWAH & PENYANYI

Sebelum ini, bapa kepada pendakwah muda itu menerusi laman Facebook mengakui sudah lama mendengar berita buruk yang membabitkan anaknya.

Malah Syed Mohammad Shaiful turut mendedahkan anaknya mengabaikan segala mesej yang dihantarnya sejak dua tahun lalu.

Berikutan dakwaan yang tular, Syed Mohammad Shaiful menasihati agar pihak yang mendakwa menjadi mangsa segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Syed yang juga penyanyi memberitahu dia bakal memfailkan saman fitnah terhadap individu yang menyebarkan dakwaan tersebut di laman Twitter.



Da'i Syed dedah bapanya sudah meninggalkan ibunya sejak 2017.

"Saya dengan ini menutut supaya pengguna akaun Twitter yang berkenaan untuk memadam segala kenyataan yang bersifat fitnah, ditokok tambah, disebarkan dan ditujukan kepada saya sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan kadar segera.

"Permohonan maaf secara bertulis kepada saya juga perlu dilakukan bagi memperbetulkan keadaan. Permohanan maaf ini kemudiannya perlu disebarkan dengan cara sama fitnah ke atas saya disebarkan.

"Sebarang kedegilan oleh mana-mana pengguna akaun Twitter yang berkenaan, akan saya terima sebagai pelawaan bagi saya memulakan tindakan saman fitnah di mahkamah terhadap mereka," ujarnya.

Pada Selasa, Da'i Syed tampil membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan dia terbabit dalam kes rogol seperti yang ditularkan di Twitter.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain