suria

Fify Azmi bukan punca perpisahan, Rashidi tidak tutup pintu hati untuk Vanidah Imran

Rashidi jelaskan Fify Azmi hanya model untuk iklan minyak wangi keluarannya.

PELAKON Rashidi Ishak menjelaskan wanita bernama Fify Azmi dalam video iklan produk minyak wangi keluarannya bukanlah orang ketiga atau menjadi punca perpisahan dengan aktres Vanidah Imran.

Rashidi berkata, wanita yang juga peserta Dewi Ramaja 2014/2015 itu merupakan bekas pekerjanya dan model kepada iklan produk berkenaan.

"Ramai yang serang dia di Instagram pagi ini (Khamis) dan saya minta maaf kepadanya kerana terkait dengan perkara ini.

"Dia dulu pekerja saya ketika saya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif sebuah stesen radio dan saya ambil dia menjadi model produk iklan minyak wangi keluaran saya.

"Memandangkan untuk mengambil artis popular agak mahal, jadi saya tawarkan dia untuk berlakon dalam iklan tersebut," ujarnya ketika temubual secara langsung sebuah portal berita pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya bukan Imam yang baik” - Rashidi Ishak mengaku sudah bercerai dengan Vanidah Imran


Pasangan ini mendirikan rumah tangga selama 17 tahun.

Rashidi pada Rabu mengesahkan sudah bercerai dengan pelakon Vanidah Imran pada 9 Ogos tahun lalu selepas 17 tahun mendirikan rumah tangga.

Rashidi berkata, dia tidak mempunyai niat untuk merahsiakan mengenai perkara itu daripada pengetahuan umum namun tindakannya itu semata-mata bagi melindungi dan menghormati keluarga kedua-dua belah pihak serta rakan terdekat.

Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mariyam Rashika dan Mikhail Imran.

Dalam pada itu, Rashidi berkata, dia mengambil masa tiga hingga empat bulan merawat luka akibat perpisahan tersebut.

"Secara jujurnya saya melalui episod duka yang sangat menyakitkan kira-kira-kira 3 hingga empat bulan sehingga dapat menyesuaikannya.

"Siapa yang tidak sayang 17 tahun perkahwinan, masa bercerai pun saya beritahu dia saya akan terus menyayanginya sehingga nafas terakhir walaupun sudah tidak bersama," ujarnya.

Dalam pada itu, menjelaskan kenyataan bukan imam yang baik kepada Vanidah, Rashidi berkata, kegagalan mempertahankan rumah tangga adalah tanggungjawab suami.

"Saya ada buat kajian bahawa perceraian dalam sesebuah keluarga terjadi kerana kegagalan suami menjadi seorang ketua keluarga," ujarnya.

Sementara itu, Rashidi mengakui dia tidak pernah menutup pintu hatinya untuk bekas isterinya itu.

Bagaimanapun, tumpuannya buat masa ini ialah untuk membina kerjaya seni semula.


Artikel Lain