“Saya belum mampu…” - Remy Ishak putus tunang! - Sensasi | mStar

“Saya belum mampu…” - Remy Ishak putus tunang!

Remy Ishak akur dia terus menjadi orang bujang.

PERSOALAN mengenai status pertunangan Remy Ishak yang menjadi teka-teki selama ini terjawab apabila aktor ini mengesahkan dia dan Ezza Yusof tidak mempunyai ikatan lagi sejak sebulan lalu.

Mengakui hubungan mereka berada dalam krisis, Remy bagaimanapun menegaskan perpisahan itu bukan berpunca daripada kehadiran orang ketiga seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

ARTIKEL BERKITAN: Ibu-Bapa Berpisah Punca Remy Ishak Ambil Masa Mahu Kahwin

“Benar kami sudah putus tunang tetapi apa yang berlaku bukan salah dia (Ezza) kerana dia seorang wanita yang baik dan bukan disebabkan orang ketiga.

Gambar kenangan Remy Ishak bersama tunangnya.

“Keputusan ini saya buat dengan berat hati selepas mendapati saya masih belum boleh menjadi seorang lelaki untuk menjaga orang lain dan mendirikan rumah tangga... Saya belum mampu.

“Apabila saya tidak tahu ke mana hala tuju hubungan ini jadi adalah lebih baik saya lepaskan Ezza kerana itu adalah tidak adil untuknya kerana saya tak mahu menahannya dalam hubungan itu,” kata Remy.

Pelakon Pujaan Hati Kanda ini ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Origina pada Rabu.

Remy dan Ezza Yusof bertunang pada Mei 2017.

Status pasangan itu mula menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat apabila dia mengakui dirinya kembali solo dalam video live di Instagram miliknya baru-baru ini.

Remy Ishak

“Tak apa dik, tak ada orang nak dekat abang dah. Kalau hensem-hensem tak ada orang nak, so kita gemuk pun tak apalah. Kita single kan,” katanya dalam video itu.

Dalam pada itu, Remy berkata, dia tidak menolak kemungkinan hubungan mereka akan kembali bertaut sekiranya mempunyai jodoh pada masa hadapan.

Malah katanya, dia dan Ezza kini berada dalam tempoh bertenang dalam memikirkan hala tuju hubungan mereka malah dia masih belum memulangkan cincin pertunangan secara rasmi kepada keluarga pihak perempuan.

“Kami mungkin bukan lagi pasangan tetapi tetap berkawan baik malah masih bekerjasama sebagai rakan kongsi dalam perniagaan.

“Sekarang saya anggap tempoh bertenang dalam mencuba memperbaiki kelemahan diri yang ada.

“Selebihnya ia terlalu peribadi untuk saya kongsi kepada umum dan berilah ruang kepada kami tambahan pula banyak hati tang perlu kami jaga,” ujarnya.

Remy Ishak

Artikel Lain

'Messi Jepun' sertai Real Madrid