PASANGAN selebriti, Neelofa dan PU Riz menjadikan buku sebagai bahan utama dalam mendidik anak-anak mengenal Tuhan.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata, pendidikan awal amat penting dalam membentuk keperibadian dan akhlak anak-anak agar mereka membesar dengan nilai Islam yang kukuh.
“Sebagai ibu, saya percaya pendidikan anak-anak bermula dari rumah. Kami mahu mereka belajar tentang kasih sayang, nilai Islam dan aktiviti yang menyeronokkan supaya mereka membesar dengan hati yang lembut dan mengenal Allah SWT,” katanya.

Neelofa dan PU Riz mengajar anak membaca sejak kecil.
Pendekatan itu turut dikongsi suaminya, PU Riz atau Muhammad Haris Mohd Ismail yang melihat pembacaan sebagai cara terbaik menanam kecintaan kepada ilmu dan Tuhan.
“Buku bukan sekadar bacaan ringan, tetapi satu medium untuk memupuk kecintaan kepada ilmu dan Allah SWT sejak usia kecil.
"Pendidikan bukan hanya mengenai akademik, tetapi juga membentuk hati dan akhlak,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: PU Riz gelar diri ‘abah’, baru tahu rasa jadi ‘bapa-bapa’... Doa Bilal jadi anak soleh
ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa, PU Riz dikecam kenakan bayaran tinggi untuk kelas agama... “RM850 seorang, ilmu apalah yang diajar”
Pasangan itu sebelum ini berkongsi anak sulung mereka, Muhammad Bilal sudah mula belajar membaca al-Quran dan mengenal nama-nama binatang dalam bahasa Inggeris melalui aktiviti interaktif di rumah.
Melihat kepentingan itu, Neelofa dan PU Riz baru-baru ini melancarkan buku terbaharu berjudul Bilal x Mommy Hana di AEON Tebrau, Johor Bahru yang dihadiri hampir 3,000 pengunjung.
Menariknya, pasangan itu turut mengadakan pertandingan sambung ayat al-Quran dan memberikan sumbangan tunai RM15,000 kepada peserta yang berjaya, menjadikan majlis itu medan dakwah yang mendekatkan masyarakat kepada al-Quran.

Neelofa dan PU Riz tidak menyangka majlis pelancaran buku Bilal x Mommy Hana menerima sambutan luar biasa.
Buku Bilal x Mommy Hana menggabungkan elemen pendidikan Islam, bahasa, dan pembelajaran interaktif dengan rekaan mesra kanak-kanak yang menarik perhatian pembaca kecil.
Ia dihasilkan bagi memberi panduan kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak melalui pendekatan yang holistik dan penuh kasih sayang.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


