suria

[V] Terlalu banyak berfikir sampai ganggu emosi, Arfie Shah gementar jadi hero ‘Impak Maksima 2’

MEMBAWA peranan sebagai watak utama dalam filem Impak Maksima 2 merupakan satu tanggungjawab besar buat pelakon baharu Arfie Shah. 

Kata Arfie atau Ad Wafri Shaharuddin, 32, bukan mudah untuk menerima satu cabaran menghidupkan kembali sebuah filem yang pernah menjadi sebutan ramai sekitar 17 tahun lalu. 

Disebabkan terlalu berfikir tentang reaksi penonton dan hasil kerjanya, dia akui emosinya sedikit terganggu. 

Arfie harap lakonannya memberi kesan kepada penonton. 

"Tujuh hari sebelum tayangan hari ini (Khamis), saya rasa sangat gementar. Setiap hari saya asyik fikirkan tentang filem ini, tetapi tidak tunjukkan kepada orang lain. Saya seorang yang 'overthinking' (berfikir secara berlebihan) 

"Malah sejak awal terima tawaran pun saya rasa ia satu cabaran besar. Satu tekanan sebagai pelakon baru dan bukan mudah untuk digalas. Lagipun membawa watak utama, harapan orang pasti tinggi," katanya kepada mStar. 

Arfie berkongsi perkara itu ketika majlis tayangan perdana Impak Maksima 2 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Khamis. 

Baginya kejayaan pengarah Dr Ahmad Idham memulakan Impak Maksima pada tahun 2007 sudah cukup memberi satu tanda aras untuk dia memastikan filem ini kembali mendapat sambutan penonton. 

ARTIKEL BERKAITAN: Dikecam tak sesuai jadi pengganti Awal Ashaari dalam ‘Impak Maksima 2’, Arfie Shah sedia terima kritikan 

ARTIKEL BERKAITAN: Impak Maksima 2 penentu karier Ahmad Idham, sedia undur diri jika gagal

Bagaimanapun rasa bimbang itu mula hilang apabila dia melihat sendiri hasil lakonannya. 

"Nak bawa filem ini untuk 18 tahun akan datang bukan satu perkara mudah. Namun selepas menonton saya yakin Idham berjaya membawa kembali magis yang pernah dibuat sebelum ini. 

"Namun dalam hidup ini semuanya bergantung kepada rezeki. Saya hanya mampu berdoa agar ia mendapat sambutan baik penonton," ujarnya. 

Satu tekanan sebagai pelakon baru dan ia bukan mudah

ARFIE SHAH

PELAKON 

Berkongsi pengalaman ketika menjalani penggambaran sekitar Januari lalu, Arfie memberitahu ada satu babak di mana dia tanpa sengaja memukul pelakon Muhsin Nadzli sehingga mengalami kecederaan.

"Itulah lumrah sebagai pelakon, kena sedar ruang dan tidak boleh melampau. Saya pun sudah minta maaf kepada dia. 

Arfie dan Muhsin (kiri) dalam Impak Maksima 2. 

"Saya juga manusia yang melakukan kesilapan. Selepas ini akan lebih berhati-hati," jelasnya. 

Selain Arfie dan Muhsin filem itu turut dibintangi pelakon lain seperti Nelissa Nizam, Datuk Seri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar serta Fad Bocey. 

Filem tersebut akan mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula 17 Julai ini. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain