suria

‘Kabel’ bukan penentu terima dana, rupanya hanya ada 3 langkah artis boleh mohon DKD MyCreative

Liza Hanim dan Aina Abdul antara penerima DKD.

SEBELUM ini terdapat beberapa pihak meluahkan rasa tidak puas hati susulan terdapat beberapa pihak termasuk selebriti tempatan yang didakwa menggunakan ‘kabel’ atau orang dalam bagi mendapatkan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada My Creative Ventures Sdn Bhd.

Disebabkan itu juga wujud tuduhan mendakwa terdapat ketirisan selain sikap pilih bulu dalam mengagihkan dana berkenaan kepada pemain industri.

Menyangkal semua dakwaan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative), Zainariah Johari menjelaskan pihaknya sentiasa mengutamakan integriti selain proses bagi meluluskan permohonan DKD tidak melibatkan sebarang unsur penipuan.

DKD 2

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative, Zainariah Johari.

Jelas Zainariah, pemohon sebaliknya perlu mengemukakan permohonan sebanyak tiga peringkat selain panel penilai adalah individu berbeza.

“Dakwaan ada artis guna orang tengah tidak benar sama sekali... MyCreative melayan semua permohonan sama rata.

“Siapa yang ikut prosedur dan syarat-syarat ditetapkan pasti akan lulus malah prosedur hanya ada tiga langkah sahaja,” katanya ketika ditemui mStar baru-baru ini.

Jelas Zainariah, tiga langkah tersebut adalah sesi membentangkan idea (pitching) di hadapan panel tentang apa mereka inginkan.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Isu DKD RM300,000... Liza Hanim ada hak memohon, hantar kertas kerja dan hadir sesi ‘pitching’

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya kenal orang dalam 100 peratus fitnah!” - Aina Abdul ikut prosedur mohon DKD RM300,000, anjur konsert perlu kos besar

Keduanya, panel pelulus akan menilai semua pitching yang dibuat sebelum membuat keputusan sama ada pemohon layak atau sebaliknya.

"Kemudian kita akan ada milestone report yang mana daripada pihak kami sendiri (MyCreative). Panel bagi sesi pitching dan juga pelulus itu kebanyakkannya orang dalam industri," jelasnya.

Dalam pada itu, Zainariah turut menyelar dakwaan beberapa pihak kononnya DKD memberi keutamaan kepada artis dikenali ramai.

Kata Zainariah, pihaknya tidak pernah melihat kepada status pemohon kerana tujuan utama dana itu disediakan adalah bagi membantu dan membangunkan industri muzik yang berdaya saing.

Siapa yang ikut prosedur dan syarat-syarat ditetapkan pasti akan lulus.

ZAINARIAH JOHARI

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF MYCREATIVE

Ia sekaligus mengembangkan potensi industri muzik dengan menggalakkan penggiat seni memasarkan karya mereka dalam dan luar negara.

"Kita terima sahaja siapa yang nak memohon tapi asalkan mengikut kriteria. Antaranya adalah pemohon tidak memohon secara individu tapi mesti melalui organisasi yang berdaftar.

"Ada nama-nama besar juga yang tidak menepati kriteria dan gagal dalam permohonan DKD kita yang lepas. Jadi, tidak semestinya orang yang sudah mempunyai nama akan dapat dana ini," ujarnya.

Sebelum ini, nama penyanyi Aina Abdul merupakan antara selebriti yang dikatakan menggunakan orang dalam untuk mendapatkan dana bagi menampung kos penganjuran Konsert A Night With Aina Abdul 3.0 yang bakal diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 18 November depan.

DKD 1

Lah Ahmad juga antara penima DKD dibawah kategori Persembahan Muzik.

Ada juga pihak mendakwa Aina tidak sepatutnya mendapat dana kerajaan itu memandangkan sudah mempunyai nama dalam industri hiburan selain dianggap merampas hak pemohon lain lebih memerlukan.

Aina yang kesal dengan tuduhan itu memaklumkan dia mengikuti kesemua prosedur ditetapkan untuk mendapatkan dana tersebut.

Dalam pada itu, Zainariah berkata, DKD Industri Muzik fasa kedua telah mula dibuka untuk permohonan sejak 22 September lalu.

DKD 3

Konsert Semangat Zaman yang menampilkan 8 lagenda rock juga antara penerima DKD.

Jelasnya, Dana Persembahan Muzik dan Dana Kebolehpasaran Domestik dibuka sehingga 3 November ini manakala Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa dibuka sepanjang tahun.

Menurut Zainariah, fasa ini menampilkan kelainan apabila pihaknya membuka kaunter Ask Me Anything yang membolehkan pemohon mengajukan soalan secara bersemuka.

"Nanti kita akan hantar orang untuk Ask Me Anything ini dekat negeri-negeri supaya orang ramai dapat tanya soalan secara fizikal.

"Ada di antara mereka tidak puas hati tanya soalan secara dalam talian, jadi kita wujudkan ini untuk memudahkan mereka," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain