suria

Penggiat seni kurang puas hati, minta kerajaan kaji semula Belanjawan 2023

Peruntukan Bajet 2023 menerima pelbagai reaksi daripada penggiat seni.

PERUNTUKAN sebanyak RM127 juta untuk pembangunan sektor industri kreatif yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 menerima pelbagai reaksi daripada penggiat seni tempatan.

Penerbit A. Aida Production, Datuk A. Aida menganggap dengan pengurangan bajet berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM177 juta, ia akan memberi kesan buruk kepada penerbit drama yang semakin bertambah.

A. Aida, berharap agar kerajaan menambah peruntukan untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana kebanyakan penerbit bergantung kepada stesen berkenaan.

"Bayangkan pada tahun 2021 sebanyak 4,528 syarikat berdaftar dengan RTM untuk masuk pitching dan hanya 343 syarikat sahaja yang terpilih, tidak sampai 10 peratus pun," katanya ketika dihubungi mStar.

Dalam pada itu, A. Aida, 53, berkata, dia tidak melihat sebarang perubahan terhadap bajet sektor industri kreatif sejak dua tahun lalu, iaitu sewaktu negara terkesan dengan pandemik Covid-19.

bajet1 - 1

A. Aida berharap lebih banyak peruntukkan diberikan kepada RTM.

Sehubungan itu, A. Aida berharap Anwar akan mengkaji semula dan meluluskan peruntukan tambahan bagi membolehkan penerbit yang memerlukan dana untuk terus bertahan dalam industri.

"Saya berterima kasih dengan peruntukan yang diberikan, tetapi saya mohon agar perdana menteri mengkaji semula dan memberi tambahan kepada bajet industri kreatif.

"Saya rasa peruntukan dapat dinaikkan sebanyak dua atau tiga kali ganda. Jika tidak, rasanya ia tidak berubah sejak pandemik lalu kerana masih ramai penerbit yang tidak mampu untuk bertahan," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2023: Industri kreatif dapat RM127 juta, semarak aktiviti budaya dan seni peringkat komuniti

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 2 tahun industri seni lumpuh, bajet RM177 juta daripada kerajaan bagai kejutan

Menerusi Belanjawan 2023, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memperuntukkan sebanyak RM102 juta sebagai Dana Kandungan Digital (DKD) untuk mempergiatkan pemasaran produk seni tempatan dan mendorong penghasilan lebih banyak karya berkualiti.

Tidak hanya itu, Anwar berkata, sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) turut mendapat manfaat potongan cukai.

Kerajaan juga bersetuju mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran.

Saya sangat berharap agar kerajaan menambah peruntukan untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana kebanyakan penerbit bergantung kepada stesen televisyen berkenaan.

A. AIDA

PENERBIT

Anwar turut mengumumkan kerajaan menyediakan dana sebanyak RM25 juta bagi menyemarakkan lagi kegiatan kebudayaan dan kesenian di peringkat komuniti.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London pula berharap kerajaan memperuntukkan bajet untuk pembangunan filem dari segi pengetahuan dan inovasi.

"Saya berharap ada peruntukkan untuk pembangunan filem yang khusus.

"Bajet untuk penyelidikan dan pembangunan juga tiada. Saya juga mohon pihak kerajaan dapat mempertimbangkannya dan memberi perhatian pada perkara ini, termasuk bajet untuk ilmu dan inovasi," katanya.

bajet2 - 1

Mat London dan Jurey Rosli punya pendapat yang berbeza.

Bagaimanapun, bagi Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM), Datuk Jurey Latiff Rosli mengucapkan terima kasih kerana mengekalkan peruntukan RM105 juta kepada DKD Finas.

"Terima kasih PM10 atas pengumuman Bajet 2023 yang mengekalkan peruntukan RM105 juta untuk DKD Finas.

"Pengecualian cukai dan lain-lain juga dapat membantu perkembangan industri kandungan kreatif dengan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penggiat seni," katanya.

Namun, langkah kerajaan untuk tidak menyediakan dana sebanyak RM50 juta seperti sebelum ini menjadi perhatian Jurey yang memohon agar ia dikaji semula.

"Saya harap pihak kerajaan dapat mengkaji semula dengan penarikan bajet RM50 juta sebagai dana filem kenegaraan yang diberikan sebelum ini.

"Ia berikutan filem-filem berkaitan bangsa dan negara amat penting dalam memastikan dasar kerajaan Madani dapat digarap menerusi filem untuk difahami oleh masyarakat.

"Saya berharap agar industri dapat dipertimbangkan satu dana khas bagi tujuan membiayai filem-filem seperti ini," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain