suria

Ramlah Ram dinasihatkan berehat, peti suara bengkak akibat gastrik

Sebagai penyanyi Ramlah sentiasa utamakan kesihatan vokal.

GARA-GARA penyakit gastrik yang dihidapi sejak sekian lama, penyanyi Ramlah Ram turut mengalami masalah bengkak pada bahagian peti suara.

Disebabkan itu juga doktor menasihatkan Ramlah, 57, untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti nyanyian dan mengambil tempoh rehat sekurang-kurangnya lima hari bermula Selasa lalu.

"Saya memang ada masalah gastrik, disebabkan itu asid refluks naik ke bahagian peti suara sehingga ia menjadi bengkak.

ARTIKEL BERKAITAN: Terima DM gambar lucah, Ramlah Ram jaga privasi elak peminat sakit mental

"Kalau ikutkan sepatutnya kena rehat selama dua minggu, tetapi kata doktor lihat dahulu bagaimana keadaan selepas lima hari. Kalau terus menyanyi akan memberi kesan kepada peti suara dan jika serius perlukan pembedahan.

"Jika pembedahan dilakukan ia boleh memberi kesan kepada tone suara saya," katanya kepada mStar.

Ramlah ditemui ketika sidang media majlis sidang media Konsert Tribute Seniman Negara: Datuk Seri Ahmad Nawab di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Khamis.

Saya tahu suara ini adalah pinjaman Allah dan Dia boleh tarik bila-bila masa sahaja

RAMLAH RAM

PENYANYI

Dalam majlis tersebut, Ramlah yang sepatutnya membuat persembahan namun enggan mengambil risiko kerana bimbang tidak boleh menyanyi pada hari konsert sebenar yang dijadualkan pada 1 hingga 3 Julai.

"Saya juga telah maklumkan kepada pengurus supaya tidak menerima sebarang undangan nyanyian dalam masa terdekat. Biarlah saya berehat dahulu.

"Bimbang juga jika masalah ini berlarutan, saya tidak boleh menyanyi ketika hari konsert nanti," ujarnya.

Sebagai seorang penyanyi, Ramlah akui bimbang jika masalah serius akan terjadi sehingga terpaksa menjalani pembedahan.

ramlah ram 3

Ramlah bersama rakan artis dan penganjur Konsert Tribute Seniman Negara: Datuk Seri Ahmad Nawab.

Akur dengan segala ketentuan, Ramlah dalam masa sama menjaga pemakanan sebaik mungkin selain mengambil ubat yang telah diberikan doktor.

"Tentulah risau jika perlukan pembedahan. Saya sentiasa berdoa semoga semuanya kembali baik. Saya tahu suara ini adalah pinjaman Allah dan Dia boleh tarik bila-bila masa sahaja.

"Dalam tempoh rehat ini saya menjaga pemakanan. Saya tidak mengambil makanan pedas dan berangin. Selain itu saya masih makan ubat yang dibekalkan doktor," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain