suria

[VIDEO] PU Amin puji Aisar Khaled Islamkan lelaki India, tapi nasihat rujuk pihak berkuasa agama - “Bukan sekadar mengucap syahadah selepas itu hilang”

SELEPAS personaliti media sosial Aisar Khaled berkongsi video dia mengislamkan seorang lelaki, timbul pelbagai pandangan dalam kalangan netizen.

Selain memuji, ramai juga yang cuba mempertikaikan cara pemuda berusia 21 tahun itu melakukannya kerja-kerja dakwah seperti itu.

Bagi Pencetus Ummah (PU) Amin, dia melihat perkara itu daripada sudut positif namun menasihatkan Aisar mendapatkan nasihat dan bimbingan pihak berkuasa agama atau yang berkaitan terlebih dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Shuib tak dendam, maafkan Aisar Khaled buat ‘content’ ziarah kubur Siti Sarah - “Tiada guna sakit hati, kena ingat kematian hampir dengan kita”

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Ibu positif Covid-19, Aisar Khaled takut kehilangan orang tersayang - “Saya menangis tak tahu apa akan berlaku”

"Apa yang dia buat itu bagus dan tahniah saya ucapkan kepadanya. Apabila ada influencer atau YouTuber buat kerja dakwah ini ia sesuatu yang baik dan kita perlu sokong.

"Dalam dakwah tidak ada timbul isu persaingan atau sebagainya. Cuma cara yang sebegitu tidak boleh dijadikan sebagai perkara yang normal.

"Untuk kita mengislamkan seseorang sama ada di jalanan, satu kampung, satu daerah atau kawan sendiri, kita perlu bawa ke tempat yang sepatutnya. Inilah yang kami pendakwah-pendakwah bincangkan," katanya ketika dihubungi mStar.

Sebelum ini Aisar berkongsi video inisiatifnya mengislamkan seorang lelaki berbangsa India.

Kita tidak mahu seseorang memeluk Islam sekadar mengucap syahadah dan selepas itu hilang begitu sahaja.

PU AMIN

PENDAKWAH

Menerusi entri Instagram, Aisar memuat naik satu video yang memaparkan dia sedang bercerita tentang keindahan Islam lalu mengajar lelaki berkenaan mengucap dua kalimah syahadah untuk memeluk Islam.

Menurut Aisar, individu dikatakan dihimpit pelbagai masalah sehingga membuatkan dia tersentuh.

“Seorang India masuk Islam. Saya terjumpa seorang abang ini, dia sangat sedih dengan kehidupan dia yang banyak masalah.

“Saya bercerita tentang kebesaran Allah dan apa sebenarnya yang kita perlu buat di dalam dunia ini.

aisar

Aisar menerima pujian ramai apabila menggunakan pengaruhnya untuk melakukan kerja-kerja dakwah.

“MasyaAllah, Allah menjentik hatinya untuk menerima agama Islam. Sungguh nikmat kebesaran Allah,” kongsinya di Instagram.

Dalam pada itu PU Amin berkata pandangan dan nasihat daripada pihak yang berkaitan adalah penting bagi memastikan individu yang baharu memeluk Islam itu dapat dibimbing dengan sebaiknya.

"Saya ada lihat posting Aisar, dia kata akan bawa lelaki itu untuk dibimbing... mungkin dia akan salur atau perkenalkan kepada pihak penguasa agama.

"Jadi tak kisahlah kalau ada influencer atau YouTuber lain nak buat pun tak ada masalah, cuma mereka perlu dapatkan pandangan dan bimbingan terlebih dahulu.

"Kita tidak mahu seseorang memeluk Islam sekadar mengucap syahadah dan selepas itu hilang begitu sahaja...mereka ini perlu dibimbing sebab kalau sudah memeluk Islam dan dia buat perkara yang tak sepatutnya, dia berdosa.

"Apabila masuk Islam ini tertakluk kepada pahala dan dosa, ini satu tanggungjawab yang sangat besar," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain