suria

Paru-paru abang Siti Sarah rosak akibat Covid-19, ambil masa untuk pulih - “Ada kala saya sihat, ada kala kurang tenaga”

Keadaan kesihatan Abang Siti Sarah menunjukkan perkembangan positif.

KEADAAN kesihatan abang kepada penyanyi Allahyarham Siti Sarah iaitu Ahmad Firdous Raissuddin semakin baik selepas hampir sebulan bertarung nyawa melawan virus Covid-19.

Berkongsi perkembangan terkini, Ahmad Firdous berkata jangkitan tersebut menyebabkan bahagian paru-parunya rosak dan memerlukan masa untuk pulih seperti sedia kala.

"Ramai yang nak tahu keadaan sebenar saya. Maaf saya tak dapat nak nak balas satu-satu. Allah yang maha besar dan saya bersyukur dengan apa yang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang Siti Sarah kembali sedar selepas sehari ditidurkan, wajah nampak ceria dan tersenyum

"Paru-paru kanan saya rosak, paru-paru kiri saya kena sikit di bahagian belakang... tapi Alhamdulillah saya boleh pulih InsyaAllah dengan izin allah.

"Ambil masa mungkin tiga hingga empat bulan. InsyaAllah! Saya pakai oksigen pun dah dikurangkan daripada sembilan ke lapan peratus.

abang siti sarah 2

Ahmad Firdous kembali sedar selepas 24 jam ditidurkan.

"Tiada perkataan selain Alhamdulillah (cuma) masih sesak nafas bila bangun pagi. Mula antibiotik baru lawan virus degil," katanya.

Ahmad Firdous memaklumkan mengenai perkembangan tahap kesihatannya itu menerusi laman Facebook.

Terima kasih semua yang mendoakan saya, perjuangan harus diteruskan. Doakan saya sembuh, sentiasa fikiran positif!

AHMAD FIRDOUS

ABANG SITI SARAH

Menerusi laporan mStar pada 12 Ogos lalu, pelawak Shuib memaklumkan Ahmad Firdous menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Serdang selepas kesihatan abang iparnya itu dilaporkan berada dalam keadaan tidak baik.

Ahmad Firdous terpaksa mendapatkan rawatan kecemasan akibat paras oksigen menurun, namun kembali sedar selepas 24 jam ditidurkan.

Dalam pada itu, Ahmad Firdous turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang sentiasa bertanya khabar dan mendoakan kesihatannya.

abang sarah 2

Perkongsian Ahmad Firdous di Facebook miliknya.

"Jadi rakan-rakan ini info terkini saya, maaf tak dapat balas satu-satu. Ada kala saya sihat, ada kala saya kurang tenaga.

"Terima kasih semua yang mendoakan saya, perjuangan harus diteruskan. Doakan saya sembuh, sentiasa fikiran positif. Terima kasih doktor dan jururawat yang merawat saya," ujarnya.

Untuk rekod, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin menghembuskan nafas terakhir disebabkan komplikasi berpunca Covid-19 pada 9 Ogos lalu selepas tiga hari ditidurkan.

Allahyarham meninggalkan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini masih berada dalam pemantauan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain