suria

Wow! Penyampai Suria FM jadi kontinjen perarakan kemerdekaan… jom tonton secara visual pada 31 Ogos ini

Penyampai Suria FM jadi kontijen pada malam siaran langsung perarakan yang diadakan secara virtual.

SEMPENA sambutan Hari Kebangsaan ke-64, stesen radio Suria FM bersama KL Sketch Nation menganjurkan perarakan animasi virtual pada 31 Ogos ini.

Meraikan ulang tahun kemerdekaan dalam norma baharu, Perarakan Merdeka SuriaxKLSketchNation ini diharap dapat meniupkan semangat masyarakat dalam menghayati erti pengorbanan dan rasa cinta terhadap negara.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, kolaborasi Suria bersama KL Sketch Nation ini julung kali diadakan dan semestinya memberi pengalaman baharu buat stesen dan pendengar setia.

ARTIKEL BERKAITAN: Suria FM jadi tempat luah perasaan, selesa ‘share’ kisah hidup - “Syukur pendengar sudi kongsi cerita mereka”

"Kolaborasi bersama KL Sketch Nation untuk projek perarakan merdeka ini merupakan pengalaman baru buat Suria FM kerana kami tidak pernah lagi menganjurkan konsep peraduan sebegini dimana memberikan peluang bagi pendengar untuk turut sama menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan menghasilkan karakter animasi bertemakan patriotik.

"Ini merupakan satu kelainan yang Suria FM mahu tonjolkan dalam penganjuran peraduan sekaligus ingin mendorong masyarakat Malaysia sama-sama meraikan Hari Kebangsaan dengan norma baru dan secara virtual.

"Suria FM berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah menghantarkan penyertaan dan juga kepada rakan penganjur KL Sketch Nation yang sudi bekerjasama dengan Suria FM... diharapkan selepas ini kita boleh bekerjasama dalam projek istimewa yang lain," katanya.

Suria FM berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah menghantarkan penyertaan dan juga kepada rakan penganjur KL Sketch Nation!

DJ LIN

PENGURUS BESAR SURIA FM

Sementara itu, Presiden KL Sketch Nation iaitu Ahmad Hakym Ahmad Hilmy pula berkata program ini dapat menonjolkan banyak bakat baharu dalam komuniti seni.

Malah, mereka sudah menerima lebih 1000 penyertaan yang turut menampilkan pelbagai lukisan bertaraf antarabangsa.

"Kami berbesar hati dapat bersama Suria FM untuk meneruskan legasi perarakan Malaysia yang sekian kalinya disambut pada setiap hari kebangsaan walaupun mendepani pandemik tahun ini.

"Program ini bertujuan untuk mengetengahkan kepakaran komuniti seni di Malaysia dengan dibarisi 10 sukarelawan seni di bawah KL Sketch Nation dalam pelbagai bidang termasuk rekabentuk grafik, animasi 2D dan 3D serta multimedia dalam penghasilan program kali ini.

dj lin

DJ Lin teruja meraikan kelainan program yang julung kali diadakan ini.

"Jumlah penyertaan yang melebihi 1000 lukisan dari segenap masyarakat membuktikan kehebatan rakyat Malaysia yang mempunyai bakat-bakat dan kebolehan bertaraf antarabangsa," ujarnya.

Perarakan Merdeka SuriaxKLSketchNation ini membabitkan kontinjen-kontinjen wakil Malaysia yang unik dan menarik kerana kesemua ahli kontinjen merupakan karakter-karakter animasi digital yang dilukis sendiri oleh rakyat Malaysia.

Bermula pada 29 Julai lalu, orang ramai yang ingin menyertai Perarakan Merdeka SuriaxKLSketchNation ini perlu menghantarkan lukisan atau ilustrasi unik karakter pilihan mereka mengikut template dan sembilan jenis kategori yang disediakan di laman web Suria.

Seramai lebih 1000 penyertaan telah diterima sehingga tarikh tamat peraduan pada 20 Ogos lalu.

suria merdeka 3

Lebih 1000 penyertaan telah diterima.

Karakter-karakter animasi yang dihantar akan menjadi sebahagian daripada barisan kontinjen mengikut kategori masing-masing.

Antara kategori yang telah diperkenalkan adalah Olimpik, Patriotik, Super Heroes, Flora, Fauna, Hantu Malaysia, Selera Malaysia, Kebudayaan, dan Teknologi.

Kontinjen Suria FM yang terdiri daripada karakter penyampai-penyampai Suria juga tidak ketinggalan menjadi salah satu kontinjen dalam perarakan Merdeka ini.

Peraduan lukisan animasi ini membuka peluang rakyat Malaysia yang berbakat untuk merebut sebahagian daripada wang tunai berjumlah RM4,000 dan hadiah eksklusif daripada Suria FM dan KL Sketch Nation.

suria merdeka 2

Tonton secara langsung pada 31 Ogos ini.

Animasi tiga pemenang utama dan 10 pemenang saguhati terpilih akan diumumkan dan menjadi kontinjen terakhir di dalam perarakan merdeka ini.

Pemenang tempat pertama akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 manakala tempat kedua akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500.

Tempat ketiga pula akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM500 dan 10 pemenang akan menerima hadiah saguhati barangan eksklusif daripada Suria FM dan KLSketchNation bernilai RM100 setiap satu.

Rasai kemeriahan Perarakan Merdeka SuriaxKLSketchNation bersama ahli keluarga dan kawan-kawan pada 31 Ogos ini, pukul 9.30 malam di semua platform digital Suria dan KL Sketch Nation.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain