suria

Hikmah Shiha Zikir ‘bising’ isu dilarang rakam momen cucuk vaksin… ada peminat dulu takut-takut terus terbuka hati daftar!

Shiha Zikir berjaya sampaikan mesej positif kepada pengikut mengenai kepentingan mengambil vaksin Covid-19.

MASIH ingat insiden penyanyi Shiha Zikir ‘mengamuk’ gara-gara dilarang merakam video ketika proses suntikan dos kedua vaksin Covid-19 pada 3 Ogos lalu?

Rupa-rupanya ada hikmah positif selepas kejadian itu kerana cerita Shiha dia menerima banyak mesej peribadi (DM) daripada pengikut di Instagram yang mula menyedari kepentingan vaksin.

Lebih membuatkan Shiha atau nama sebenar Nurshiha Mohd Zikir gembira apabila ada yang memberitahu mereka terbuka hati untuk mendapatkan suntikan pelali tersebut selepas beberapa kali mengelakkan diri daripada mendaftar.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Keliru kenyataan menteri, Shiha Zikir melenting dilarang rakam momen cucuk vaksin - “Dia beri alasan nonsense... takut jadi viral”

"Ramai yang DM saya di Instagram. Rata-rata beri komen positif dan paling membuatkan saya gembira apabila mereka ucap terima kasih kerana pada awalnya mereka takut-takut nak ambil vaksin.

"Selepas melihat video saya, mereka terus daftar di MySejahtera! Bayangkan selama ni tak pernah terfikir nak daftar, berat hati dan berasa takut.

"Sebab itu apabila semua orang boleh rakam, mereka akan kongsi untuk beri pengaruh kepada orang lain. Secara tak langsung dapat menggalakkan lebih ramai mengambil vaksin.

shiha zikir vaksin 1

Shiha dilarang merakam video semasa mendapatkan suntikan dos kedua.

"Contohnya apabila mereka rakam video secara tak langsung dapat elakkan daripada kejadian terlepas pandang, sekurang-kurangnya kalau tak sempurna kita boleh ambil lagi sekali dan ini memberi keyakinan kepada orang lain," katanya kepada mStar.

Menerusi laporan mStar pada 3 Ogos lalu, Shiha meluahkan rasa marah dan kesal apabila tidak dibenarkan membuat sebarang rakaman ketika proses suntikan vaksin dos kedua di sebuah pusat pemberian vaksin di ibu negara.

Shiha menjelaskan tujuannya untuk merakam video itu bukan sekadar suka-suka sebaliknya ingin memberikan kesedaran kepada peminat tentang kepentingan mengambil suntikan vaksin.

Diharapkan semua peminat dapat menerima lagu terbaharu Shiha berjudul Irama ini!

SHIHA ZIKIR

PENYANYI

Isu itu bagaimanapun sudah selesai dengan baik dan berharap kebenaran yang diberikan oleh bekas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dapat membangkitkan semangat orang ramai untuk mendapatkan vaksin.

Dalam perkembangan lain, Shiha baru sahaja melancarkan lagu terbaharu berjudul Irama setelah hampir setahun fokus kepada bidang lakonan.

Lagu Irama ini merupakan hasil kolaborasi di antara dua label muzik iaitu Todak Music dan Alternate Records & Talents.

shiha zikir irama

Irama bawa kelainan dalam karier nyanyian Shiha.

"Setelah berkecimpung hampir 10 tahun di dalam industri hiburan, banyak yang saya pelajari secara tidak langsung mengasah bakat untuk lebih menyerlah antaranya belajar untuk menjadi lebih mahir menyampaikan lagu dalam pelbagai genre.

“Saya berharap dengan usaha ini dapat mengembangkan lagi bakat saya ke negara jiran seperti Korea, Thailand dan lain-lain lagi.

"Irama menjadi taruhan walaupun dalam Bahasa Malaysia namun muziknya tidak seperti lagu-lagu biasa yang pernah saya nyanyikan. Diharapkan semua peminat dapat menerima buah tangan terbaru dari Shiha ini," katanya.

Irama berentak catchy dan up to date ini merupakan sentuhan Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves.

Lagu edaran Alternate Records & Talents dan Todak Music dilancarkan di semua pelantar digital sejak 20 Ogos lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain