suria

[VIDEO] Batuk teruk, Siti Sarah dikejarkan ke hospital selepas tahap oksigen menurun

Siti Sarah dikejarkan ke hospital petang Rabu.

SARAT hamil tujuh bulan, penyanyi Siti Sarah Raissudin, 37, dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras berikutan tahap oksigen yang semakin menurun.

Pengurusnya. Nana Mohd. Rom daripada syarikat Indigital Music memberitahu Sarah dibawa menaiki ambulans sekitar pukul 6.30 petang Rabu bagi mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hamil 7 bulan... Siti Sarah sekeluarga positif Covid-19 - “Doakan kami harungi 14 hari ini”

“Sarah sekeluarga sepatutnya sudah memotong gelang kuarantin hari ini (semalam) tetapi keadaan kesihatannya kurang memuaskan akibat batuk dan penurunan oksigen dalam badan membuatkan Sarah terpaksa mendapatkan rawatan lanjut,” kata Nana.

Shuib kongsi video Siti Sarah dibawa ke hospital menaiki ambulans.

Sementara itu, suaminya pelawak Shuib Sepahtu memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan isteri serta anak dalam kandungan.

“Assalammualaikum semua. saya mohon doakan isteri saya Siti Sarah Raisuddin. Doakan semoga dia dan anak dalam kandungan diberi kesihatan kembali dan dipermudahkan segala urusan. Allah Maha Segala-galanya,”, tulisnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Shuib turut berkongsi video menunjukkan Sarah sedang mencium anak-anak sebelum dibawa ke hospital.

Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan Covid-19 sejak 25 Julai lalu. Mereka sekeluarga menjalani ujian saringan selepas pembantu rumah disahkan positif virus maut tersebut.

Sarah dan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, berkahwin pada 2011, memiliki tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain