suria

Amylea angkat bendera putih, rayu derma kilat untuk bapa - “Kami buntu... ayah perlu dimasukkan ke hospital swasta”

Amylea rayu sumbangan untuk biayai kos rawatan bapanya.

DEMI kesihatan bapa, penyanyi Amylea Azizan terpaksa merayu sumbangan derma kilat bagi membiayai kos rawatan bapanya, Azizan Zainal Abidin, 62, yang menghidap penyakit jantung.

Menurut Amylea, 35, walaupun dia berasa segan melakukan perkara itu namun ia perlu dilakukan demi melihat bapanya kembali sembuh seperti sedia kala.

ARTIKEL BERKAITAN: Giliran Amylea Azizan tutup aurat bulan Ramadan, mahu betulkan dalaman sebelum istiqamah bertudung

"Apa yang saya buat ini memang betul-betul kecemasan sebab bukan kami sengaja mahu hantar ayah ke hospital swasta tapi disebabkan hospital kerajaan memang sudah penuh dengan pesakit Covid-19, jadi kami terpaksa masukkan ayah ke hospital swasta.

"Ayah pula tiada insurans dan ketika pandemik macam ini saya dan adik-beradik lain tidak boleh keluar bekerja... ini sahaja jalan yang boleh kami fikirkan," katanya ketika dihubungi mStar.

amylea

Perkongsian Amylea di InstaStory.

Terdahulu, Amylea memuat naik status memohon sumbangan derma kilat untuk membayar deposit rawatan bapanya di Institut Jantung Negara (IJN) selepas semua hospital kerajaan dikatakan terpaksa menolak pesakit lain susulan peningkatan kes Covid-19 sehingga menyebabkan kekurangan katil untuk pesakit lain.

Kata Amylea bersyukur apabila menerima banyak bantuan daripada pelbagai pihak yang prihatin dan segera menghulurkan bantuan.

"Alhamdulillah ayah saya kini berada dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke IJN petang semalam (Jumaat). Memang masa itu saya dan keluarga dah buntu sebab Hospital Ampang dan Hospital Serdang terpaksa menolak pesakit selain daripada kes Covid-19 sebab kekurangan katil.

Ayah pula tiada insurans dan ketika pandemik macam ini saya dan adik-beradik lain tidak boleh keluar bekerja... ini sahaja jalan yang boleh kami fikirkan.

AMYLEA AZIZAN

PENYANYI

"Sebelum ini ayah dapatkan rawatan di hospital kerajaan tapi mereka terpaksa menolak dan mereka cadangkan untuk kami masukkan ayah ke hospital swasta.

"Adik ipar saya yang mula-mula blast tentang sumbangan derma kilat menerusi WhatsApp kumpulan kejiranan kami dan daripada situ kami dapat kumpul RM3,000 untuk bayar deposit kepada IJN.

"Lepas saya letak tentang sumbangan di Instastory saya, memang banyak DM masuk daripada peminat dan rakan-rakan artis yang turut sama menyumbang.

amyleaa

Amylea terharu dengan sumbangan orang ramai.

"Saya memang tak tahu nak cakap macam mana, terima kasih banyak-banyak... memang sangat-sangat terharu di atas sumbangan mereka. Saya harap Allah akan lipat gandakan lagi rezeki mereka semua yang telah membantu ayah saya," katanya.

Penyanyi lagu Kendati ini berkata ayahnya kini hanya menunggu masa untuk melakukan prosedur Angiogram bagi memeriksa keadaan jantungnya yang dijadualkan pada September ini di Hospital Serdang.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Kalau ikutkan kami memang lagi prefer hospital kerajaan sebab memang rekod kesihatan ayah dengan Hospital Ampang dan Hospital Serdang. Sepatutnya ayah dah buat prosedur ini pada Mac tahun lalu namun terpaksa ditangguhkan sebab pandemik Covid-19 pada masa itu.

"Sekarang ayah terpaksa dimasukkan ke hospital untuk stabilkan diri dia selepas dia ada komplikasi jangkitan kuman di paru-paru dan Alhamdulillah keadaan dia semakin okay.

"Walaupun tidak dibenarkan melawat namun kami tetap berkomunikasi dengan ayah menggunakan panggilan video, kalau dia tak larat dia akan minta bantuan nurse untuk tolong telefonkan kami," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain