suria

Issam Alnajjar pasang impian angkat muzik A pop setaraf K pop

Issam Alnajjar teruja single Hadal Ahbek diterima ramai.

MEMASANG impian tinggi, penyanyi kelahiran Jordan yang popular dengan lagu Hadal Ahbek, Issam Alnajjar mempunyai perancangan untuk mengangkat muzik Arabic Pop (A Pop) ke peringkat yang lebih tinggi.

Issam, 17, menyatakan dia ingin melihat genre A Pop dibawa ke serata dunia seperti mana kejayaan muzik K pop (Korea Pop) yang kini mendapat perhatian peminat muzik global.

ARTIKEL BERKAITAN: Tuah lagu ‘Raparaparapa’ popularkan Issam Alnajjar, berjaya atasi Justin Bieber dan The Weeknd di TikTok

"Kalau boleh saya nak mempromosikan genre muzik A Pop agar ia dikenali di seluruh dunia seperti mana muzik K pop sekarang.

"Sekarang saya masih lagi dalam pembikinan album sulung yang mungkin akan dipasarkan dalam masa terdekat," katanya kepada mStar menerusi sidang media virtual yang diadakan baru-baru ini.

Hadal Ahbek jadi fenomena muzik seluruh dunia.

Nama Issam menjadi fenomena selepas single pertamanya, Hadal Ahbek yang bermaksud 'Aku Akan Terus Menyintaimu' berjaya mencatatkan jumlah tontonan lebih tujuh juta dalam tempoh sebulan ia ditayangkan di saluran YouTube.

Malah kejayaan anak muda berusia 17 tahun ini juga sangat membanggakan apabila jumlah tontonan lagunya itu mencatatkan kenaikan paling tinggi berbanding single yang pernah dikeluarkan dua penyanyi antarabangsa popular seperti Justin Bieber dan The Weeknd.

Mengulas mengenai pencapaiannya itu, Issam berkata dia sama sekali tidak menyangkakan sambutan hangat yang diterimanya menerusi single tersebut.

Kalau boleh saya nak mempromosikan genre muzik A Pop agar ia dikenali di seluruh dunia seperti mana muzik Kpop sekarang.

ISSAM ALNAJJAR

PENYANYI ANTARABANGSA

"Ketika mula-mula muat naik video itu, saya cuma sasarkan sebanyak kira-kira 10,000 tontonan sahaja.

"Namun, tak sangka sudah mencecah berjuta-juta tontonan dalam tempoh sehari.

"Ini sangat mengejutkan apatah lagi kejayaan saya ini dibandingkan dengan Justin Bieber, jauh lagi perjalanan saya untuk capai tahap seperti itu," ujarnya lagi.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Issam teringin bekerjasama dengan Billie Eilish, Shawn Mendes dan Lewis Capaldi.

Berkongsikan impiannya, Issam berkata dia teringin bekerjasama dengan penyanyi antarabangsa popular seperti Billie Eilish, Shawn Mendes dan Lewis Capaldi.

"Kalau boleh saya nak bekerjasama dengan ramai artis antarabangsa popular agar genre muzik A Pop dapat diketengahkan lagi.

"Sekiranya impian nak berduet dengan Billie, Shawn atau Lewis menjadi, pastinya ia akan jadi satu pencapaian kerjaya yang paling besar buat saya," katanya.

Hadal Ahbek boleh didengari di semua platform digital manakala muzik videonya boleh ditonton di saluran YouTube Issam Alnajjar.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain