suria

Yuna padam foto selepas disangka hamil, minta peminat elak komen tahniah! - “Ia mungkin sensitif untuk mereka yang sedang mencuba”

Yuna nafi dia kini sedang berbadan dua.

GARA-GARA sekeping foto yang menampakkan bahagian perutnya sedikit berisi, penyanyi Yuna disangka kini sedang berbadan dua.

Tidak mahu mencetuskan salah sangka, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai, 35, menjelaskan dia masih belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata dan meminta peminat terus mendoakannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Yuna pernah rasa tak mahu kahwin, takut majlis hancur diceroboh media - “Ada khabar angin kru TV usaha cari lokasi tapi tak jumpa”

"Saya terpaksa muat naik lagi sekali gambar ini disebabkan komen-komen salah faham anda.

"Saya tidak hamil, itu hanya lunch tummy (baru lepas makan), terus doakan saya, terima kasih," katanya.

Saya harap anda mungkin boleh elak daripada meninggalkan komen seperti 'omg tahniah!!' tanpa mendapat sebarang kepastian.

YUNA

PENYANYI

Foto ini menimbulkan spekulasi di kalangan peminat yang menyangka Yuna kini sedang berbadan dua.

Penyanyi lagu Crush itu juga meminta netizen menjadi lebih sensitif agar tidak meninggalkan komen yang boleh menimbulkan ketidakselesaan terhadap mana-mana pihak sebelum mendapat sesuatu kepastian tentang perkara tersebut.

Katanya, komen-komen sebegitu hanya akan menggores hati seseorang yang sedang berusaha ke arah itu.

"Saya harap anda mungkin boleh elak daripada meninggalkan komen seperti 'omg tahniah!!' tanpa mendapat sebarang kepastian daripada gambar yang dimuat naik oleh seseorang itu.

"Komen itu mungkin kedengaran sensitif untuk mereka yang sedang mencuba (untuk mendapatkan anak), mereka yang masih merancang atau mana-mana pihak yang belum lagi bersedia untuk menimang cahaya mata," ujarnya.

Yuna dan suami, Adam Sinclair.

Yuna sebelum itu memuat naik sekeping gambarnya yang memakai baju berwarna coklat menampakkan bahagian perut kelihatan sedikit berisi sebelum dia terpaksa memadamkan foto tersebut apabila peminat mula membuat spekulasi dia sedang hamil anak sulung.

Tidak lama selepas itu, dia kembali memuat naik semula gambar tersebut beserta penjelasan mengenai perkara berkenaan pada pagi Isnin.

Penyanyi yang mencipta nama di Amerika Syarikat itu berkahwin dengan pengarah iklan komersil, Adam Sinclair, 37, pada 26 Januari 2018 di Bentong, Pahang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain