suria

Ubati kerinduan peminat, Anuar Zain akhirnya ada lagu baharu!

Anuar Zain ubat kerinduan peminat dengan lagu terbaharu, Sendiri.

LEBIH tiga dekad dalam industri muzik tanah air, penyanyi Anuar Zain kini tampil mengubat kerinduan peminat dengan single terbaharunya berjudul Sendiri.

Menurut Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, dia tertarik dengan keaslian dan keikhlasan komposer Farouk dan penyanyi Aisha dalam karya tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Suara disamakan dengan Anuar Zain, pelajar UiTM terima pujian dengan hati terbuka - “Sebelum buat persembahan, mama akan dengar saya nyanyi dulu”

Memuji bakat dua personaliti tersebut, penyanyi berusia 51 tahun ini menganggap lagu itu menepati jiwanya dan memberikan sebuah karya yang baik kepada penggemar muzik.



Anuar tertarik dengan lagu Sendiri.

"Kekuatan lagu ini adalah pada melodi dan liriknya yang ringkas serta mudah berhubung kait. Secara keseluruhannya lagu ini sangat baik dan bahagian yang paling saya suka adalah pra korusnya.

"Selepas mendengarnya sekali, saya sungguh tertarik. Kali kedua mendengarnya pula, melodi dan liriknya melekat di hati saya. Lagu Sendiri amat tepat dengan jiwa saya.

"Karya Farouk dan Aisha datang dari dalam sanubari mereka dan inginkan sesuatu yang berkualiti. Sekali gus dapat memberikan halwa telinga yang baik buat penggemar muzik tanah air.

Kali ini, saya pertaruhkan lagu berentak sederhana rancak.

ANUAR ZAIN

PENYANYI

"Mereka adalah pengkarya muzik yang sangat cemerlang, ikhlas, dan teliti didalam penghasilan lagu," kata Anuar kepada mStar.

Bekerjasama dengan komposer terkenal iaitu Farouk Roman dan penyanyi meningkat naik, Aisha Retno selaku penulis lirik, magis jelas tercipta dalam lagu tersebut.

Sendiri merupakan lagu tema untuk drama Single Terlalu Lama arahan Ungku Ismail Aziz yang turut dibintangi pelakon Riz Amin, Julia Farhana, Dayana Roza, Lia Natalia, Azar Azmi, Noorkhiriah, Zila Bakarin, Norman Hakim, serta Uchee Fukada.



Anuar seronok bekerjasama dengan bakat baharu.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Andaiannya Takdir ini memberitahu dia mempertaruhkan lagu berentak sederhana rancak dan berharap semua peminat muzik tanah air akan menyukainya.

"Saya harapkan agar penggemar muzik tanah air menikmati buah tangan daripada kami ini. Kali ini, saya pertaruhkan lagu berentak sederhana rancak.

"Semoga mereka boleh menikmati karya terbaru ini dengan perasaan yang gembira, menikmati setiap bahagiannya, serta mampu kaitkannya dengan kehidupan mereka.

"Tidak ketinggalan, semestinya saya mengharapkan karya ini akan beroleh kejayaan serta dapat membawa industri muzik kita tahap yang lebih tinggi," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain