suria

Selepas catat kejayaan lebih sejuta penonton, Awesome TV kini boleh ditonton di Astro saluran 123

Awesome TV kini boleh ditonton menerusi Astro saluran 123.

SALURAN televisyen percuma terbaharu di Malaysia, Awesome TV kini sudah boleh ditonton di Astro menerusi saluran 123 HD bermula Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adam Ilyas berkata setakat ini Awesome TV telah berjaya mencatatkan lebih satu juta penonton sejak ia mula dilancarkan pada 3 Ogos tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kembalikan kegemilangan filem sains fiksyen, Awesome TV tayang trilogi Back To The Future

"Awesome TV telah mencatatkan capaian tontonan harian tertinggi berjumlah lebih satu juta penonton pada bulan November 2020 dan sehingga kini, lebih daripada 2.6 juta penonton telah mengikuti saluran ini.

"Ini adalah pencapaian yang cukup hebat untuk sebuah stesen TV yang baharu dan kami berharap akan dapat terus menyentuh hati dan menambat fikiran lebih banyak lagi penonton dengan kemunuculan kami di Astro," katanya.

Awesome TV telah menunjukkan perkembangan yang sangat baik di platform media digital dan media sosialnya di mana telah berjaya mencapai tontonan atas talian sebanyak 6.3 juta tontonan di YouTube dengan hampir 35,000 pelanggan (subscribers), 50,000 pengikut di Tik Tok, 19,000 pengikut di Instagram dan hampir mencecah 10,000 pengikut di Facebook.

Program hiburan Ohsem!!! dihoskan oleh Shuk Sahar dan Shalma Aina.

Sementara itu, Pengarah Urusan Awesome TV, Johan Ishak berkata, saluran tv ini menumpukan lebih banyak kepada kandungan tempatan selain menampilkan kandungan bermutu untuk tontonan rakyat Malaysia.

"Kehadiran kami adalah untuk membantu meningkatkan landskap penyiaran negara dengan menghasilkan dan menyediakan kandungan dan pengisian tempatan yang segar dan menarik di saluran ini.

Ini adalah pencapaian yang cukup hebat untuk sebuah stesen TV yang baharu dan kami berharap akan dapat terus menyentuh hati dan menambat fikiran lebih banyak lagi penonton dengan kemunuculan kami di Astro.

DATUK ADAM ILYAS

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF AWESOME TV

"Pada masa ini, kami mempunyai 70 peratus pengisian tempatan di saluran ini dan kami berharap dengan menyediakan platform tambahan, kami dapat mendorong lebih banyak penggiat dan pengeluar kandungan televisyen tempatan untuk menghasilkan program berkualiti tinggi yang sesuai untuk dinikmati oleh semua rakyat Malaysia," katanya.

Sebagai pembaharuan, Awesome TV turut memperkenalkan tiga slot drama terbaharu iaitu Dramatix yang akan bersiaran dari pukul 8 malam, setiap Isnin hingga Rabu, Drama Ohsem (pukul 9 malam, Isnin hingga Rabu) dan Dramedi (drama berunsurkan komedi dan sitkom yang ditayangkan pukul 9 malam, Khamis hingga Ahad).

Berslogankan 'Awesome TV, Memang Ohsem!", saluran tv ini berazam untuk menjadi stesen peransang minda (mood booster) untuk semua rakyat Malaysia.

Bagi pelanggan Astro, Astro Njoi dan Astro On Demand boleh menonton Awesome TV di saluran 124 secara definisi tinggi (HD).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain