suria

Gandingan duet Aina Abdul dalam ‘Nafas Cinta’ kurang serasi! Khai Bahar hanya buat kerja - “ Tak nak gimik yang orang tak suka, nanti pening”

Khai Bahar hanya jalankan tugas menyampaikan lagu sebaiknya bersama pasangan duet, Aina Abdul.

GANDINGAN penyanyi Khai Bahar dan Aina Abdul dalam lagu duet terbaharu berjudul Nafas Cinta menerima pelbagai reaksi pendengar.

Selain komen pujian, ada juga segelintir mereka yang berpendapat gabungan suara dua penyanyi muda ini seakan-akan tidak serasi dan kurang menyengat tidak seperti lagu duet sebelum ini.

Menjawab kritikan pendengar itu, Khai atau nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin, 27, berkata dia menerima pandangan itu dengan hati terbuka dan menyedari tiada kemampuan untuk memuaskan hati semua pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: Khai Bahar tawar adik perempuan menyanyi tapi awal-awal dah kena 'reject' - “Dia hanya suka-suka sahaja”

"Itu perkara biasa... rasanya bukan Khai sahaja, ada juga penyanyi atau pelakon drama lain berdepan situasi sama, apabila gandingan itu diterima oleh peminat kerana nampak serasi sampaikan ada yang berharap artis kesayangan mereka itu disatukan.

"Di mata mereka nampak itu sahaja dan bila bergandingan dengan orang lain mereka rasa tak sesuai pula... masing-masing ada pendapat berbeza, kita tak boleh nak kata ya atau tidak!



Khai bergandingan bersama Aina Abdul dalam lagu terbaharu, Nafas Cinta.

"Kita cuma buat apa yang perlu kita buat dan tak perlu nak ambil kisah sangat sebab saya tahu ini kerja dan saya cuba buat sehabis baik, ” katanya kepada mStar.

Khai mengulas mengenai perkara itu semasa sidang media lagu Nafas Cinta yang diadakan secara virtual, baru-baru ini.

Bagi saya memang perlu ada gimik sedikit tapi biarlah yang diterima orang dan tak naklah benda yang buat orang tak suka, nanti kita yang pening!

KHAI BAHAR

PENYANYI

Sebelum ini, gandingan Khai bersama penyanyi Siti Nordiana menerusi lagu dan drama Satukan Rasa menerima sambutan peminat sehingga ada yang mengharapkan agar pasangan ini benar-benar menjalinkan hubungan cinta.

Ditanya mengenai gimik untuk lagu Nafas Cinta, Khai berkata dia tidak mahu lagi terpalit dengan gosip cinta bersama pasangan penyanyi yang digandingkan.



Gandingan Khai dan Siti Nordiana jadi fenomena sehingga peminat berharap mereka benar-benar bercinta.

Ini kerana dia bimbang dengan penerimaan peminat yang mungkin di luar kawalan.

"Mulanya ada juga terfikir nak buat gimik... kalau buat pasti menjadi tapi penerimaan itu nanti yang akan berbeza. Bagi saya memang perlu ada gimik sedikit tapi biarlah yang diterima orang dan tak naklah benda yang buat orang tak suka, nanti kita yang pening.

"Apa-apa pun saya bersyukur promosi lagu ini berjalan baik... saya dan Aina hanya bekerja dan tidak menyimpan sebarang perasaan cinta antara satu sama lain. Aina pun sama seperti saya, kami hanya rakan duet, ” ujarnya.

Lagu Nafas Cinta boleh dilayari di semua platform digital dan video muzik boleh ditonton menerusi YouTube Aina Abdul.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain