suria

Surau di pusat beli-belah tutup, Nubhan jadikan ‘fitting room’ tempat solat - “Hidup kena kreatif... tiada alasan untuk tidak solat”

Nubhan tunjuk cara mudah bersolat jika surau di pusat beli-belah ditutup.

BAGI mengekang penularan wabak Covid-19, beberapa ruangan yang sempit dan padat terpaksa ditutup bagi mengurangkan jangkitan virus itu dalam komuniti.

Ini termasuklah penutupan surau atau ruangan solat di dalam pusat membeli-belah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di beberapa negeri.

Bagaimanapun, penutupan ruangan solat itu sama sekali tidak menghalang penyanyi Nubhan menunaikan ibadah itu mengikut waktu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan berang isteri dituduh berhenti kerja doktor gigi sebab tak sambung kontrak - “Dulu kata aku kikis duit bini, sekarang mari duit kau aku nak kikis!”

Menerusi Instagram, Nubhan berkongsi cara mudah dengan menjadikan bilik persalinan atau fitting room yang ada di sebuah kedai baju sebagai ruangan untuk dia menunaikan solat.

“Sekarang surau dalam shopping mall semua tutup! Adoi... tapi surau mall ni saya tak tahu tutup ke tak... sebab jauh dan malas nak pusing, jadi inilah cara paling senang.

Perkongsian Nubhan di Instagram menarik perhatian pengikut.

“Kita pergi tandas ambil wuduk siap-siap. Lepas itu kita pergi solat, ” katanya dalam rakaman video berkenaan.

Dalam perkongsian video itu, Nubhan dilihat membawa bersama sehelai baju ke bilik persalinan sebelum menunaikan solat.

Dipercayai video itu dirakam semasa dia dan isteri, Afifah Tawfek sedang berbelanja di sebuah pusat membeli-belah di Seremban, Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan merupakan antara enam negeri yang melaksanakan PKPB sejak Rabu lalu.

Nubhan bersama isteri tersayang, Afifah.

Sementara itu, rata-rata pengikut bersetuju dengan tindakan penyanyi berkenaan memandangkan solat merupakan perkara wajib yang tidak boleh diabaikan.

“Tiada alasan tiada tempat untuk solat. Hidup ni kena kreatif, orang perempuan pun boleh buat, yang penting pakaian dah bersedia untuk solat.

“Tak pernah terfikir nak buat macam tu, terima kasih kerana bagi idea... semoga Covid ini cepat berakhir!

“Dalam keadaan sekarang ni banyak surau dalam mall ditutup, baguslah bantu bagi idea macam ni, lepas ni boleh bawa sejadah siap-siap, ” komen netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain