suria

Shima Anuar menggigil kerana terlalu panik selepas disahkan positif Covid-19 - “Saya susah nak bernafas walaupun tiada asma”

Shima kongsi tip kepada sesiapa yang dijangkiti Covid-19.

SELEPAS beberapa hari menjalani kuarantin sendiri di rumah, pelakon Shima Anuar berkongsi pengalaman ketika disahkan dijangkiti wabak Covid-19 pada Ahad lalu.

Pelakon berusia 30 tahun itu mengakui dia berasa panik sehingga badannya menggigil sebaik sahaja keputusan ujian saringan menunjukkan dirinya positif.

ARTIKEL BERKAITAN: Shima Anuar pula positif Covid-19, mengaku bukan kontak rapat pesakit - “Dalam kepala fikir anak-anak saja sekarang ini”

Malah, pelakon Highland Tower ini sudah menyediakan barang keperluan sekiranya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datang mengambilnya untuk ke hospital.



Shima kongsi perkara itu di laman Instagram.

"Seperti yang saya kongsikan sebelum ini, hari Jumaat lalu, saya susah nak bernafas walaupun saya tak ada asma tapi badan panas sikit. Buat swab test pada Sabtu dan Ahad dapat keputusan positif.

"Masa itu saya cuak, takut, panik, badan menggigil dan takut sangat sampai saya menangis. Sambil menangis saya hubungi suami yang ketika itu keluar beli barang. Saya dah sediakan beg untuk sekiranya ambulan nak datang ambil.

"Suami balik, terus spray satu rumah dengan pembasmi kuman. Dia nampak tenang walaupun saya panik. Sepatutnya kena macam itu, tak perlu panik... baru boleh fikir nak buat apa selepas itu," katanya.

Shima berkongsi mengenai perkara itu menerusi video yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.

Saya dapat keputusan, terus kuarantin tak jumpa anak-anak.

SHIMA ANUAR

PELAKON

Sebelum ini, Shima mendedahkan dia mengalami kesukaran untuk bernafas dan sakit kepala sebelum mengambil keputusan untuk melakukan ujian saringan Covid-19.

Menerusi laporan mStar pada Isnin, Shima memberitahu dia berasa sedih apabila disahkan positif memandangkan dirinya tidak mempunyai kontak rapat dengan mana-mana pesakit Covid-19.

Bagaimanapun, Shima memberitahu suaminya iaitu Mohd Solih Toha dan dua orang anaknya iaitu Mariam Sophia dan Mikhael Imaan sudah melakukan ujian saringan dan keputusan mereka negatif.

Dalam pada itu, pelakon filem Nasi Tangkas ini memberi tip kepada sesiapa yang dijangkiti Covid-19 supaya tidak berasa panik sepertinya.



Suami Shima dan anak-anak negatif.

"Sesiapa yang disahkan positif, anda kena bertenang... pertama sekali, beritahu ahli keluarga dan kawan-kawan yang anda jumpa beberapa hari sebelum itu. Saya bukan jenis keluar lepak tapi ada la saya jumpa beberapa orang.

"Mereka dah buat swab test dan keputusan negatif. Kedua, kuarantin diri as soon as possible. Saya dapat keputusan, terus kuarantin tak jumpa anak-anak. Selepas itu anda boleh buka website atau IG KKM untuk dapatkan maklumat.

"Please get yourself vitamin c, minum air suam atau panas atau lemon. Kalau badan panas, mandi dan makan ubat. Ini saya kongsikan apa yang boleh buat sementara tunggu KKM datang ambil.

"Sebenarnya kalau boleh kuarantin sendiri, asalkan betul-betul jujur... tak keluar rumah sementara tunggu KKM datang. Kita tahu hospital pun penuh sebab kes makin banyak," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain