suria

Hamil anak kedua... emosi Siti Nurhaliza cepat tersentuh, mudah rasa letih - “Tengok cerita di TV pun saya menangis”

Sit Nurhaliza akui emosi mudah tersentuh dan cepat berasa letih.

HAMIL empat bulan, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata emosinya mudah tersentuh dan cepat berasa letih di awal kandungannya ini.

Siti, 41, bagaimanapun bersyukur kerana sepanjang tempoh kehamilan anak kedua ini dia tidak mengalami sebarang alahan yang teruk.

"Cabaran hamil kali kedua ini, saya rasa cepat penat mungkin kerana faktor usia juga! Sekarang ini saya lebih emosi, tengok cerita di televisyen sikit pun saya menangis... baca (cerita) dekat Instagram pun saya menangis.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat bulan simpan rahsia, Siti Nurhaliza akhirnya umum hamil anak kedua - “Seronok kalau dapat sepasang”

"Proses kehamilan setiap anak pasti berbeza! Alhamdulillah syukur buat masa ini tiada masalah, tidak seperti awal-awal hamilkan Siti Aafiyah dulu, ada pendarahan dan sebagainya tapi kali ini semua dipermudahkan.

"Doakan saya diberikan kekuatan dan kesihatan sehinggalah akhir bersalin yang dijangka April tahun depan," katanya.

Siti dan suami, Datuk K (kiri sekali) bergambar bersama Ketua Pegawai Pelanggan CUCKOO International, Toh Seng Lee (kanan sekali) dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO International, Hoe Kian Choon (dua dari kanan) semasa sidang media BeauSiti X WonderLab melancarkan dua minuman kecantikan baharu.

Pada Selasa, penyanyi lagu Aku Bidadari Syurgamu ini mengumumkan berita gembira itu semasa sidang media pelancaran produk Beausiti X Wonderlab pada Selasa.

Siti ditemani suami Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa tampil menjawab segala spekulasi peminat mengenai kehamilan cahaya mata kedua mereka itu.

Sementara itu, Siti mengakui timbul kebimbangan hamil ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19, justeru itu dia lebih berhati-hati dengan tidak keluar rumah jika tiada urusan penting.

Aafiyah teruja mengetahui ibunya kini sedang hamil.

"Saya sedikit gementar apabila hamil dalam situasi Covid-19, lebih-lebih lagi wanita hamil berisiko tinggi untuk dijangkiti.

"Sebenarnya saya nak jalani rawatan IVF lebih awal tapi disebabkan oleh Covid-19 saya lewatkan sikit. Saya ambil keputusan untuk kembali melalui rawatan IVF selepas keadaan sedikit reda sebelum ini, namun keadaan sekarang membuatkan saya sangat berjaga-jaga dan tidak keluar rumah kecuali jika ada hal yang tidak dapat dielakkan," katanya.

Ditanya mengenai perasaan Aafiyah, Siti berkata, anak sulungnya itu antara yang teruja dan seakan-akan sudah memahami dia bakal menerima kehadiran orang baharu tidak lama lagi.

Siti akui proses kehamilan anak kedua lebih mudah.

"Saya tak pasti dia faham atau tidak tapi dia tahu ada baby di dalam perut. Saya juga sering tunjuk foto imbasan kehamilan mengenai keadaan bayi dalam kandungan saya.

"Bila tanya mana baby, dia akan cium macam dalam video siaran langsung di Instagram tempoh hari," ujarnya.

Siti sebelum ini pernah mengalami keguguran pada November 2015.

Dia kemudiannya berkongsi berita kehamilan pada tahun 2017 iaitu selepas 11 tahun berkahwin dengan Datuk K.

Hasil perkongsian hidup pasangan ini dikurniakan anak perempuan bernama Siti Aafiyah yang kini berusia dua tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain