suria

Empat bulan simpan rahsia, Siti Nurhaliza akhirnya umum hamil anak kedua - “Seronok kalau dapat sepasang”

Siti Nurhaliza umum hamil anak kedua.

SPEKULASI penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza sedang hamil anak kedua terjawab apabila penyanyi tersohor itu mengumumkan dia kini hamil empat bulan.

Menurut Siti, 41, setelah lama menyimpan rahsia dan membiarkan peminat berteka-teki akhirnya dia dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa tampil mengumumkan berita gembira itu semasa pelancaran produk Beausiti X Wonderlab pada Selasa.

"Alhamdulillah... syukur hari ini sangat bersejarah kerana saya dapat umum banyak perkara istimewa. Selain pelancaran Beautessence dan Beaunest, pelantikan Nabila Razali sebagai duta kempen... semestinya satu lagi pengumuman istimewa untuk semua.

ARTIKEL BERKAITAN: Aksi Aafiyah cium perut ketika 'live IG' cetus spekulasi Siti Nurhaliza hamil anak kedua

"Dah lama menjadi teka-teki, ramai buat andaian dan hari ini cukup sesuai untuk saya kongsi dengan semua peminat, Alhamdulillah saya dan suami nak kongsi berita baik saya sudah hamil empat bulan.

"Ramai mendokan dan rasanya ada yang dah boleh agak... ada juga yang berteka-teki kerana saya diamkan diri. Dalam keadaan sekarang saya hanya duduk rumah. Doakan saya diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik sehingga hari kelahiran," katanya.

Aafiyah pernah memberi hint ibunya kini sedang hamil semasa siaran langsung di Instagram.

Siti dan Khalid atau lebih dikenali Datuk K membuat pengumumam istimewa itu semasa pelancaran produk tersebut yang diadakan secara virtual pada Selasa.

Sementara itu penyanyi lagu Aku Bidadari Syurgamu ini berkata dia tidak kisah mengenai jantina anak kedua.

"Lelaki atau perempuan kami terima dengan hati terbuka... tapi seronok tu kalau dapat sepasang," ujarnya.

Pada 25 September lalu, aksi Siti Aafiyah mencium perut ibunya ketika sedang bersiaran langsung di Instagram mencetuskan spekulasi penyanyi nombor satu negara itu sedang hamil anak kedua.

Menerusi video berkenaan juga menunjukkan Aafiyah beberapa kali mencium perut ibunya dalam keadaan gembira dan teruja.

Datuk K dan Siti teruja untuk timang anak kedua.

Perkara itu menguatkan lagi spekulasi Siti kini berbadan dua selepas mengumumkan berehat daripada industri hiburan buat sementara waktu.

Malah, peminat-peminat meluahkan rasa teruja dan menganggap kanak-kanak yang kini berusia dua tahun itu memberi hint bakal mendapat adik.

Netizen turut mengucapkan tahniah kepada Siti dan mendoakan semuanya berjalan lancar

Siti sebelum ini pernah mengalami keguguran pada November 2015.

Dia kemudiannya berkongsi berita kehamilan pada tahun 2017 iaitu selepas 11 tahun berkahwin dengan Datuk K.

Hasil perkongsian hidup pasangan ini dikurniakan anak perempuan bernama Siti Aafiyah yang kini berusia dua tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ahmad Said, isteri disahkan positif Covid-19