suria

Dua jam setengah dengar 'Suria Cinta'! Suria FM catat 2.9 juta pendengar bagi tahun 2020

Suria FM keempat teratas dalam kalangan stesen radio berbahasa Melayu

STESEN radio Suria FM sekali lagi berjaya meningkatkan prestasi radio mereka apabila keputusan kaji selidik radio GfK Wave Kedua 2020 membuktikan peratus jumlah pendengar bertambah 10.37 peratus daripada tahun sebelumnya.

Ia sekali gus meletakkan kedudukan Suria FM keempat teratas dalam kalangan stesen radio berbahasa Melayu dan juga secara keseluruhan di antara radio komersial di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadiah ulang tahun paling manis! Suria FM berjaya kukuhkan kedudukan antara stesen radio popular

Menurut Pengurus Kanan Suria, Cik Roslinda Abd Majid atau DJ Lin berkata, pihaknya sentiasa berusaha memperbaiki prestasi seiring dengan perkembangan teknologi dunia digital pada masa kini.

Keputusan ini juga membuktikan bahawa radio masih relevan menjadi pilihan masyarakat sebagai sumber hiburan dan maklumat.

“Untuk memberikan kepuasan mendengar radio dan memenuhi keperluan kandungan untuk sasaran pendengar, kami akan sentiasa meneroka idea kandungan baru dan pelbagai platform antaranya melalui platform radio, digital dan siri jelajah (on ground) secara lebih kreatif.” ujarnya.



DJ Lin mengendalikan segmen Suria Cinta.

Secara keseluruhan Suria FM mencatatkan sehingga 2.9 juta pendengar iaitu 88 peratus daripada jumlah ini merupakan pendengar dari kawasan pusat bandar dengan 50 peratus jumlah pendengarnya memperoleh pendapatan seisi rumah lebih daripada RM4,000 ke atas.

Program Suria Cinta kekal sebagai segmen radio yang mempunyai tempoh masa tertinggi dihabiskan untuk mendengar (TSL) di antara empat stesen radio berbahasa Melayu tertinggi iaitu selama 2 jam 34 minit sepanjang Isnin hingga Jumaat dari jam 8 malam hingga 1 pagi.

Segmen Team Pagi Suria dan Hello Suria pada hari Sabtu pukul 2 petang hingga 6 petang pula mencatatkan peningkatan pendengar eksklusif yang tertinggi di antara semua stesen radio komersial berbahasa Melayu untuk W2 2020 penambahan sebanyak 27 peratus dan 16 peratus berbanding tahun lepas.

Suria FM juga mengekalkan peningkatan jumlah pendengar yang tertinggi di kawasan Utara Semenanjung Malaysia sebanyak 34.35 peratus berbanding tahun sebelumnya dan juga 14.20 peratus di kawasan Selatan Semenanjung Malaysia.



Team Pagi Suria catat peningkatan pendengar eksklusif tertinggi.

Suria FM juga membuktikan kedudukannya sebagai salah satu saluran digital kreatif pilihan ramai apabila platform digital Suria iaitu media sosial Suria Malaysia, laman web www.suria.my dan YouTube Suria TV meraih hampir dua juta pengikut dan tontonan.

Terbaharu, program digital Suria Duo X yang dianjurkan baru-baru ini mencatatkan lebih satu juta tontonan dan penglibatan melalui radio dan beberapa platform digital Suria seperti entri melalui Instagram, episod mingguan di Facebook dan YouTube, serta penglibatan komuniti melalui kelab peminat artis dan penyokong finalis Suria Duo X.

Malah, seramai lebih 5000 orang jumlah penonton yang menonton siaran langsung secara serentak ketika episod finale Suria Duo X.

Bukan itu sahaja, pendengar kini juga boleh mengakses dan mendengarkan Suria FM melalui aplikasi SURIA mahupun laman web 24 jam setiap hari, dimana-mana sahaja, pada bila-bila masa.

Sehingga kini, seramai 770 ribu orang telah memuat turun aplikasi SURIA menerusi AppStore dan Playstore.

Suria FM adalah sebuah stesen radio swasta yang dikendalikan oleh Rimakmur Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik Star Publications (M) Berhad.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain