suria

Setahun tak berjumpa, kumpulan Nominos umum 'RIP'! - “Bukan bubar tapi...”

Kumpulan Nominos bakal keluar album mini tidak lama lagi.

KUMPULAN Nominos menjelaskan status ‘RIP’ yang dikongsi di Instagram tidak bermaksud 'Rest In Peace' atau mahu meninggalkan dunia seni sebaliknya ia singkatan daripada perkataan Recording In Process.

Lul atau Syahrul 'Olum Sinwa, selaku pemain bass berkata perkongsian itu bertujuan untuk mengumumkan mereka bakal mengeluarkan mini album pada tahun hadapan.

Menurutnya, mereka tidak berniat untuk melakukan gimik namun ia sekadar untuk melepaskan kerinduan terhadap peminat.

"Motif utama kami memuat naik 'RIP' bukan gimik atau apa tetapi sejujurnya kami rindukan peminat. RIP itu bermaksud 'Recording in Process'.

Ikutkan perancangan kami, Insya-Allah akan ada lima buah lagu dalam mini album itu.

SYAHRUL 'OLUM SINWA

PEMAIN BASS NOMINOS

"Kami tidak berkesempatan untuk melancarkan lagu kami pada tahun ini dan bakal keluarkan terus mini album pada tahun 2021 melalui digital streaming, Insya-Allah.

"Sebenarnya kami sudah lama tidak memuat naik apa-apa kerana sudah hampir setahun tidak berjumpa sesama kami yang tinggal di berlainan negeri," katanya kepada mStar.

Sebelum ini, Nominos memuat naik foto mereka dengan tulisan 'Nominos 2020 RIP' menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat.

Rata-rata peminat beranggapan RIP yang dimaksudkan kumpulan itu sudah dibubarkan.

Nominos dikenali menerusi lagu Fall In Love.

Dalam pada itu, Lul memberitahu mereka sudah membuat perancangan untuk mini album berjudul Nostalgia tersebut yang mengandungi lima buat lagu.

"Ikutkan perancangan kami, Insya-Allah akan ada lima buah lagu dalam mini album itu dan setiap lagu mempunyai kaitan.

"Masa yang ada ni kami ingin buat persiapan sebaiknya agar dapat beri yang terbaik untuk peminat-peminat yang tidak jemu menantikan," jelasnya.

Kumpulan ini dikenali dengan lagu Fall In Love yang menjadi lagu tema untuk drama Kekasih Paksa Rela pada tahun 2017.

Nominos turut dianggotai oleh Mohd Thaha Mohammad Sholeh (vokalis), Abdul Qahhar Mohammad Sholeh (pemain gitar) dan Mohd Syafiq Aizat Azami (pemain drum).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Nominos 2020 RIP, dibubarkan, kumpulan,

Artikel Lain