Najwa Latif lancar lagu Dua selepas dicipta tujuh tahun lalu - “Alhamdulillah... akhirnya lagu ini dilancarkan setelah sekian lama”

Najwa tampil single kedua bersama Akwa berjudul Dua.

SELEPAS kejayaan lagu Tak Kisah Pun yang mendapat sambutan yang baik, penyanyi Najwa Latif sekali lagi tampil bekerjasama dengan penyanyi rap baharu iaitu Akwa Arifin menerusi single kedua mereka berjudul Dua.

Menurut Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif, 25, lagu tersebut sudah dicipta sejak tujuh tahun lalu namun terpaksa mengambil masa yang lama untuk dilancarkan atas faktor tertentu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua tahun sibuk mengajar... Najwa Latif buat 'comeback'! Tak Kisah Pun hadiah buat peminat

Tambah Najwa lagi, dia menghasilkan semula lagu tersebut ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan memuat naik versi akustik di YouTube pada tahun lalu.

Disebabkan ramai yang suka, kami setuju untuk merakamkannya.

NAJWA LATIF

PENYANYI

"Alhamdulillah... akhirnya lagu ini dilancarkan setelah sekian lama. Sebenarnya lagu itu saya cipta kira-kira tujuh tahun yang lalu dan ia mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

"Perjalanan dan pembikinan lagu ini sangat santai, semuanya dihasilkan dalam tempoh PKP dan (PKPB) ini. Sebenarnya, versi akustik lagu ini sudah muat naik di YouTube setahun yang lalu.

"Disebabkan ramai yang suka, kami setuju untuk merakamkannya. Kali ini menampilkan penyanyi rap baharu Akwa Arifin," kata Najwa kepada mStar.

Lagu Dua dihasilkan oleh Najwa dan adik-beradik yang menggelarkan diri mereka sebagai Ellgee, manakala liriknya dihasilkan dengan kerjasama Akwa.



Najwa dan Akwa bekerjasama kali kedua.

Manakala lagu Tak Kisah Pun kini telah mencecah 3.2 juta tontonan di saluran YouTube.

Dalam pada itu, Najwa meluahkan rasa teruja dengan single terbaharu ini memandangkan ia merupakan single kedua daripada syarikatnya sendiri iaitu NL Entertainment.

"Alhamdulillah... saya sangat teruja dengan single terbaharu ini memandangkan ia merupakan lagu kedua yang dikeluarkan oleh syarikat saya sendiri," ujarnya.

Video muzik lagu Dua kini menjadi trending di YouTube dan sudah mencecah lebih 500,000 tontonan sejak dimuat naik dalam masa enam hari.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain