suria

Tahniah! Azzam Sham juara Big Stage 2020, bawa pulang RM100,000

Azzam menjadi juara manakala Usop ditempat kedua dan Qody menduduki tempat ketiga Big Stage 2020.

PENYANYI Azzam Sham muncul sebagai juara program Big Stage 2020 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Kemenangan itu melayakkan Azzam, 23, membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 berserta trofi.

ARTIKEL BERKAITAN: Terlanjur kata berbaur 'body shaming', Usop mohon maaf secara langsung pada Sherry Al Hadad - “Saya harap semua orang tak terasa”

Azzam menerusi ucapan kemenangan berterima kasih kepada semua yang menyokongnya terutama peminat sehingga membolehkan dia bergelar juara.

“Saya tak sediakan ucapan tapi pertama sekali saya terima kasih kepada Allah. Bakat yang saya ada daripada Allah maha berkuasa. Terima kasih ibu bapa, keluarga, datuk dan nenek saya

“Terima kasih juga kepada peminat yang selalu undi saya, ” katanya.



Usop menduduki tempat kedua Big Stage 2020.

Pada pentas akhir itu, Azzam menyampaikan lagu Aku Bidadari Syurgamu nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza dan lagu Grenade (Bruno Mars).

Dia menerima markah daripada juri dan undian penonton secara online sebanyak 67.85 peratus.

Naib juara dimenangi oleh Usop dengan markah sebanyak 66.57 peratus dan tempat ketiga oleh Qody Rany dengan markah sebanyak 61.85 peratus.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000 dan RM20,000 beserta trofi.

Manakala, tempat keempat dan kelima menjadi milik Dinie Rashid (60.04) dan Fadh Majid (58.80).



Qody hanya menduduki tempat ketiga Big Stage 2020.

Usop selaku naib juara menyanyikan lagu Arjuna Mencari Cinta nyanyian asal Dewa 19 dan lagu Peluang Kedua (Nabila Razali).

Kesemua peserta dihakimi oleh dua juri tetap iaitu Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Ajai serta juri undangan Misha Omar.

Keputusan pemenang ditentukan oleh pemarkahan juri dan undian penonton secara online.

Big Stage musim pertama menyaksikan penyanyi Sarah Suhairi menjadi juara manakala juara untuk musim kedua pula milik penyanyi berasal dari Korea Selatan iaitu Han Byul.

Big Stage 2020 disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dan ia dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Azzam Sham, Big Stage 2020, Juara, BBNU

Artikel Lain