Raja Syahiran anggap Uyaina Arshad matang dan profesional - “Kami masih dalam fasa perkenalan”

Raja Syahiran anggap Uyaina seorang yang matang dan profesional.

HUBUNGAN pengacara Uyaina Arshad dengan penyanyi Raja Syahiran mula menjadi perhatian apabila pasangan itu dilihat memakai baju sedondon berwarna putih ketika menghadiri majlis resepsi pelakon Mira Filzah pada 7 September lalu.

Menurut Raja Syahiran atau nama sebenarnya Raja Syahiran Raja Azhanrianshah, 27, dia tidak menjangkakan foto berbaju sedondon dengan Uyaina itu akan tular.

Bagaimanapun, Raja Syahiran mengakui dia dan model muslimah itu dalam fasa mengenali satu sama lain namun soal berkahwin itu bukan menjadi fokus utama mereka buat masa kini.

"Ini pertama kali bila ambil gambar dengan kawan, jadi viral pula. Sejujurnya saya dan Yana (Uyaina) masih dalam fasa perkenalan... masih mengenali satu sama lain.

Saya bukan sasarkan untuk jadi terkenal sebab jiwa dan raga saya untuk muzik.

RAJA SYAHIRAN

PENYANYI

"Mana tahu ada rezeki, jodoh dan sebagainya, kami terima dengan tangan terbuka. Tapi dalam masa sekarang ini, masih dalam fasa mengenali. Apa yang orang nak kata itu, kita tak boleh nak kawal.

"Saya jadi diri sendiri dan Yana pun cuba fokus kerjaya dia. Saya suka dengan Yana sebab dia matang dan profesional. Kami berdua ini sama... nak fokus pada diri dahulu sebelum fikir soal kahwin," katanya kepada mStar.

Raja Syahiran diminta untuk mengulas mengenai spekulasi dia dan hos program Ratu Hijabista itu kini sedang menjalinkan hubungan cinta selepas foto mereka di majlis resepsi Mira Filzah menjadi tular.



Foto Raja Syahiran dan Uyaina berbaju putih di majlis resepsi Mira Filzah menjadi tular.

Dalam pada itu, penyanyi yang mempunyai kebolehan membuat bunyi muzik secara beatbox ini memberitahu dia tidak pernah menyasarkan untuk menjadi terkenal semenjak menceburi dunia hiburan tanah air.

"Saya bukan sasarkan untuk jadi terkenal sebab jiwa dan raga saya untuk muzik. Jadi, orang tak nampak saya di hadapan tapi banyak kerja saya lakukan di belakang tabir.

"Kalau nak terkenal itu memang amat mudah. Buat sesuatu yang memalukan diri dan sebagainya hanya untuk dapatkan publisiti murahan. Tapi sasaran saya bukan benda itu.

"Saya tahu tidak mempunyai kehebatan seperti penyanyi lain tapi saya ada juga kelainan yang boleh ditunjukkan. Kalau kita sasarkan nak terkenal dan duit sahaja, benda itu hanya untuk sementara saja," ujarnya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Memulakan langkah pemulihan ekonomi