suria

Geram dengan Hayati, tak fasal-fasal Jasmin Hamid terima mesej ugutan!

Penonton beremosi menonton lakonan Jasmin Hamid dalam drama 7 Hari Mencintaimu 2.

GARA-GARA watak Hayati dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2, pelakon Jasmin Hamid menerima ugutan bunuh daripada penonton di laman Instagram.

Terkejut dengan mesej yang diterima, Jasmin berkata penonton seharusnya bijak membezakan antara lakonan dan realiti serta tidak terbawa-bawa dengan emosi.

"Subhanallah, kalau marahkan Hayati sekalipun kononnya lakonan saya menjadi tak perlulah kecam bunuh di gambar yang tak berkenaan dengan drama.

ARTIKEL BERKAITAN: Jasmin Hamid gelar 'cleaner' sebagai wira tak didendang, tanggung risiko Covid-19 dengan gaji yang rendah

"Posting perniagaan orang tu, ini sudah salah... boleh tak ambil tindakan undang-undang sebagai ugutan? Tak perlu emosi sangat sampai terlupa jaga lisan dan akhlak.

"Itukan semuanya lakonan, jadilah penonton bijak yang pandai membezakan lakonan dan realiti, apabila dah berhijab tu pastinya akhlak dan lisan juga akan baik, janganlah rosakkan imej mereka yang berhijab," katanya menerusi Instagram pada Khamis.

Antara mesej peribadi yang diterima Jasmin di Instagram.

Bersama kapsyen tersebut, Jasmin turut berkongsi paparan skrin mesej ugutan yang dikirim oleh netizen.

"Ee nak kena bunuh ke? Eloklah kau makan lepas tu mati," antara mesej yang dikirim penonton.

Yang hebatnya, pemilik akaun tersebut bukan pengikut saya pun... followers saya hebat, berakhlak dan positif

JASMIN HAMID

PELAKON

Sementara itu, Jasmin meminta orang ramai berhati-hati sebelum menulis sesuatu di laman sosial terutamanya mesej berbentuk ugutan.

Ini kerana tindakan mereka itu merupakan satu jenayah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Jasmin harap penonton dapat bezakan baik dan buruk dalam drama yang ditonton.

"Yang hebatnya, pemilik akaun tersebut bukan pengikut saya pun... followers saya hebat, berakhlak dan positif. Syukur Alhamdulillah, percuma saja saya dapat pahala.

"Jadi anda semua hati-hati bila nak kecam ya, kecam watak bukan pelakonnya tak fasal saja anda dapat dosa sedangkan pelakon dapat gaji.

"Takut kalau salah komen, sampai keluar kenyataan bunuh pada foto yang tak ada kaitan dengan drama boleh dibawa ke pihak berkuasa kerana ia boleh dikira ugutan," ujarnya.

Drama 7 Hari Mencintaiku 2 arahan Jamal Khan bersiaran di setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 7 malam di slot Akasia TV3.

Selain Jasmin Hamid, ia turut dibintangi oleh Siti Saleha, Shukri Yahaya, Liza Abdullah dan Kazar.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!