suria

“Kalau ditakdirkan mati, mama reda, mama mati dalam senyum” - Anak bimbang A. Aida tinggalkan rumah

A. Aida (kiri) ketika mendengar taklimat di pejabat Angkatan Pertahanan Awam, Kuala Lumpur.

PRODUSER Datuk A. Aida berkata anak-anaknya bimbang dan ada yang menangis selepas dia membuat keputusan untuk meninggalkan rumah demi menabur bakti berkhidmat membantu Anggota Pertahanan Awam (APM) mendepani wabak Covid-19.

A. Aida atau Zaidah Awang, 49, memberitahu tiga anaknya khuatir sekiranya dia dijangkiti wabak berkenaan kerana terlibat dalam aktiviti sukarelawan itu.

“Anak-anak saya menangis. Mereka kata kenapa saya nak terlibat dalam aktiviti seperti ini? Saya kata, bila lagi kita nak bantu masyarakat… Jika ditadirkan saya mati, saya reda kerana setidak-tidaknya saya dah tolong orang.

ARTKEL BERKAITAN: Lesap RM200,000… Mas Khan dilarang berlakon dalam produksi A. Aida

“Saya kata pada anak-anak, mereka tak payah bimbang sebab saya dah tinggalkan harta untuk mereka hidup kalau saya mati. Kalau mati pun dalam senyum kerana saya buat kerja membantu orang,” kata A. Aida.

Wakil APM Kuala Lumpur menerima sumbangan peribadi berupa air mineral daripada A. Aida.

Tiga anak A. Aida ialah Wan Az Aleesa, 23, Wan Azevanatatassha, 18, dan Muhammad Rahul yang berusia 11 tahun.

A. Aida yang juga Leftenan Kolonel (Bersekutu) APM terlibat membantu anggota badan beruniform itu di beberapa pusat kuarantin sekitar Kuala Lumpur dari segi pengagihan makanan dan minum untuk mereka yang bertugas.

Selain bantuan peribadi itu, dia juga turut menghulurkan sumbangan dalam bentuk wang kepada mereka yang terlibat untuk meringankan keperluan keluarga.

Dalam pada itu tambah A. Aida, apa yang dilakukannya itu ialah sebahagian daripada tugasnya sebagai hamba Allah yang banyak mengurniakan rezeki kepadanya selama ini.

Katanya daripada dia berada di rumah tanpa melakukan aktiviti berfaedah untuk masyarakat ia tidak memberi apa-apa pengertian dalam dirinya sedangkan dia adalah ahli bersekutu agensi itu.

“Untuk menyertai aktiviti ini, banyak langkah keselamatan diri dilakukan dan perlu dipatuhi,” katanya.

Bersama petugas APM di pusat kuarantin, Medan Tuanku, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah APM Kuala Lupur, Leftenan Kolenel (PA) Mohd Zahri Abdul Aziz berkata, sebanyak empat pusat kuarantin dibuka di Kuala Lumpur iaitu di Institut Sosial Malaysia Sungai Besi, Akademi SPRM Jalan Duta, Hotel Crystal Crown, Kepong dan Hotel Lotus, Medan Tuanku.

Pusat-pusat kuarantin ini menempatkan wakil agensi terlibat termasuklah dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela, Bomba, Kementerian Kesihatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Setalkat ini kira-kira 320 orang aggota APM terlibat di semua lokasi kuarantin Kuala Lumpur yang bekerja secara syif. Kami bertindak sebagai penyelaras kepada agensi-agensi terlibat dalam menjalankan operasi membendung penularan wabak ini,” katanya.

Artikel Lain

Wanita bingung kereta kemik angkara labu