suria

Han-Byul dapat 'standing ovation', Sheryl Shazwanie peserta pertama tersingkir Big Stage musim kedua

Sheryl tersingkir, Han-Byul dapat pujian juri profesional. Foto Instagram @astrogempak

PERJUANGAN Sheryl Shazwanie di pentas Big Stage musim kedua berakhir apabila diumumkan sebagai peserta pertama yang tersingkir dalam program pencarian bakat budak baru nak up (BBNU) itu.

Sheryl, 22, yang menyanyikan lagu Drama nyanyian asal kumpulan Drama Band tersingkir selepas menduduki tangga ketiga tercorot mengikut markah daripada juri profesional.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tiada cabaran nyanyi lagu pilihan sendiri” - Siti Nurhaliza mahu peserta Big Stage musim kedua lebih variasi

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Perasaan itu mendapat markah sebanyak 63.67 peratus secara keseluruhan dan tersingkir kerana mendapat undian terendah secara ‘online’.

11 peserta mara ke peringkat seterusnya minggu depan.

Juri jemputan Datuk Syafinaz Selamat menerusi komen kepada Sheryl menganggap peserta itu tidak bersedia dan memahami lirik yang dinyanyikannya.

"Kamu gembira? Lagu ini tentang apa? Apa maksud dia? Awak tak baca lirik betul-betul, balik duduk dan fahami. Awak tak boleh senyum, kena fikir satu kata kerja sebelum mula persembahan!" ujarnya.

Penyanyi kelahiran Brunei iaitu Aziz Harun pula mendapat markah sebanyak 61.63 peratus diikuti penyanyi berasal dari Thailand, Chaleeda dengan markah sebanyak 59.00 peratus.

Big Stage minggu kedua diadili dua juri profesional tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika disamping Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri jemputan.

Manakala peserta daripada Korea Selatan, Han-Byul yang membawakan lagu Vroom Vroom nyanyian asal Nabila Razali membuat kejutan apabila mendahului carta dengan markah sebanyak 89.33 peratus.

Pada persembahan bertenaga itu, Han-Byul turut menerima tepukan gemuruh dan 'standing ovation' daripada Siti Nurhaliza dan Judika.

Sementara itu peserta Indonesia iaitu Dinda Permata yang menyanyikan lagu Temberang (Ayda Jebat) mendapat 82.67 peratus.

Selain Han-Byul dan Dinda Permata, sembilan peserta yang layak ke peringkat seterusnya ialah Neeta, Kucaimars, Irfan Haris, Santesh, Syada Amzah, Fieya Julia, Adzrin, Aziz Harun dan Chaleeda.

Big Stage dihoskan oleh Alif Satar bersama Sherry Alhadad dan bersiaran secara langsung daripada Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setiap Ahad bermula 9 malam.

Sheryl Shazwanie, Big Stage

Artikel Lain