suria

“Rosyam Nor bukan pesaing tapi idola” - Fauzi Nawawi

Fauzi jadikan Rosyam Nor sebagai idola dan inspirasi untuk dia lebih berjaya.

BIARPUN sinonim membawa watak antagonis menerusi filem atau drama namun pelakon Fauzi Nawawi tidak pernah menjadikan pelakon Datuk Rosyam Nor sebagai pesaingnya.

Fauzi atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Nawawi, 46, berkata dia menganggap Rosyam sebagai idola dan inspirasi untuk lebih berjaya dalam bidang yang diceburi.

"Saya tak pernah takut siapa pesaing saya dalam membawa watak jahat. Setiap pelakon ada kelebihan dan keistimewaan.

"Sebelum saya ceburi bidang seni, Rosyam adalah idola saya dan saya jadikan dia sebagai inspirasi untuk terus maju.

Fauzi mahu tampil kelainan dalam setiap lakonannya.

"Lagipun, Rosyam lebih jauh berjaya daripada saya dari segi perniagaan dan pencapaiannya dalam bidang seni," katanya kepada mStar.

Fauzi dan Rosyam pernah berlakon bersama menerusi filem Anak Halal pada tahun 2007.

Selepas beberapa tahun, mereka sekali lagi bekerjasama menerusi filem Chowrasta yang ditayangkan pada 2015.

Dalam pada itu, suami kepada pelakon Lisdawati ini bakal menjalani penggambaran filem aksi Coast Guard pada Ogos depan.

Fauzi bakal masuk set penggambaran filem aksi.

Menurut Fauzi, biarpun masih membawa watak antagonis namun dia mahu mewujudkan kelainan daripada lakonannya sebelum ini.

"Saya nak wujudkan satu kelainan dalam watak kali ini. Saya kena banyak buat 'homework' sebab watak Samad ini, jahat dia tiada had.

"Ada lebih kurang sebulan untuk saya membuat persiapan dan latihan sebelum memasuki set penggambaran," ujarnya.

Selain Fauzi, pelakon yang turut membintangi filem yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan antaranya Saharul Ridzwan, Emma Maembong dan Julia Farhana.

Fauzi Nawawi, Datuk Rosyam Nor

Artikel Lain