“Saya bagi Bruno makan sedap-sedap… makan coklat” - Zarith Sofia rancang hantar anak beruang ke zoo selepas sihat - Hiburan | mStar

“Saya bagi Bruno makan sedap-sedap… makan coklat” - Zarith Sofia rancang hantar anak beruang ke zoo selepas sihat

Zarith Sofia menjelaskan tiada niat menjadikan beruang matahari sebagai haiwan peliharaannya.

PENYANYI Zarith Sofia Yasin menjelaskan dia tidak mempunyai niat untuk menjadikan beruang matahari yang ditemuinya dalam keadaan lemah di Bukit Ampang dua minggu lalu sebagai haiwan peliharaan.

Bekas peserta program realiti Rockanova itu sebaliknya berkata, dia merancang untuk menghantar haiwan dilindungi itu kepada pihak zoo selepas keadaan beruang yang diberi nama Bruno itu pulih.

“Saya hanya nak selamatkan beruang itu. Tiada niat sama sekali untuk menganaiyanya.

"Memang betul saya balik ke kampung untuk beraya, tapi saya tak biarkan dia kelaparan… saya tinggalkan makanan.

"Malah saya tidak letakkan dia dalam sangkar kerana tak mahu dia duduk terlalu lama… itu lagi kejam.

"Mungkin ada jiran yang lalu dan nampak beruang itu dan mereka bising. Sebab itu beruang itu meraung, mungkin kerana panik juga," katanya.

Kepala beruang matahari cuba keluar dari tingkap kondominium kediaman wanita itu tular di laman sosial pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak bela beruang!” - Ara Johari terkilan disangka penyanyi wanita simpan beruang dalam kondo

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi wanita ditahan simpan anak beruang matahari

Selain itu, penyanyi berusia 27 tahun ini juga menepis dakwaan yang mengatakan dia menganiaya beruang matahari berkenaan.

Menurut Zarith atau lebih mesra disapa Pia, dia begitu mengambil berat soal penjagaan dan kebajikan sepanjang beruang itu di bawah penjagaannya.

"Kalau Bruno boleh bercakap, mesti dia akan beritahu makanan yang saya bagi sedap-sedap, makan coklat... Memang niat lepas dia okay, saya nak hantar dekat zoo.

“Saya risau kalau hantar Bruno dekat zoo (ketika dia masih sakit) kerana binatang di sana pun semuanya kurus kering. Badak pun tak nampak macam badak," ujarnya.

Dalam pada itu Zarith juga menafikan dakwaan netizen kononnya dia menjalankan perniagaan menjual haiwan dilindungi itu.

"Takkan saya nak jual binatang itu. Gila ke apa? Siang saya berniaga, malam saya menyanyi... bila masa pula saya nak pergi jual binatang?

"Bukan ini caranya untuk saya cari rezeki. Haiwan seperti itu bukan untuk dijual," katanya.

Pihak Perhilitan membuat pemeriksaan mengejut di rumahnya selepas menerima maklumat awam.

Ditanya mengenai kemungkinan dikenakan tindakan tegas kerana menyimpan haiwan dilindungi itu, Zarith berkata dia reda dan sedia mematuhi tuntutan undang-undang namun meminta netizen berhenti mengecamnya.

"Saya tiada niat untuk langgar undang-undang. Saya sedar beruang itu tak boleh dibela.

"Sekiranya saya didapati bersalah dan akan dipenjara, saya reda. Saya menghormati undang-undang dan takkan melawan.

"Cuma saya terkilan apabila mereka hina kerana saya penyanyi di kelab malam. Saya tak pernah mengaku saya artis. Perkara ini mengajar saya untuk lebih berhati-hati selepas ini, semoga ia menjadi pengajaran untuk yang lain juga," katanya.

Terhadulu, media melaporkan seorang penyanyi wanita berusia 20-an ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas didapati memelihara dan menyimpan seekor beruang matahari secara haram di dalam kondominiumnya.

Zarith Sofia merupakan bekas peserta program realiti Rockanova.

Zarith Sofia , beruang