suria

“Saya tak bela beruang!” - Ara Johari terkilan disangka penyanyi wanita simpan beruang dalam kondo

Ara Johari menafikan dirinya penyanyi wanita simpan beruang dalam kondo.

PENYANYI Ara Johari menegaskan dia bukan penyanyi rock wanita yang ditahan gara-gara memelihara dan menyimpan seekor beruang matahari pada Jumaat.

Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 22, berkata perkara itu menyebabkan dia menerima pelbagai mesej peribadi yang memaki hamun dan menuduh menganiaya haiwan.

“Bila sebut penyanyi rock wanita, berusia 20-an tu andaian mereka hampir tepat tetapi itu bukan saya. Ramai yang maki dekat dm cakap saya aniaya binatang.

“Saya cuma terkilan sebab netizen mudah-mudah sahaja tuduh saya dan memaki tanpa selidik dahulu.

“Saya tak bela beruang. Yang kena tangkap tu artis lain yang saya sendiri tak kenal,” katanya kepada mStar pada Sabtu.

Ara dituduh membela beruang matahari.

ARTIKEL BERKAITAN: Ara Johari tak kisah kahwin ustaz, tapi bersyarat

ARTIKEL BERKAITAN: "Tolong hormat saya, jangan judge!" - Ara Johari naik muak asyik cakap isu rambut

Dalam pada itu, Ara turut menyelar tindakan penyanyi rock terbabit yang menganaiya haiwan dilindungi itu.

Menurut Ara, selebriti itu seharusnya mengambil tahu cara penjagaan haiwan yang betul daripada mengabaikannya.

“Saya sendiri takut beruang. Ia binatang yang mengganas dan bising. Takkan saya nak bela.

“Kalau betul nak bela, ambil lesen dan kaji dahulu cara penjagaan yang betul. Kalau saya ada bela binatang, saya juga akan bawa kemana-mana saya pergi.

“Kalau saya jadi jiran dia, saya pun akan lapor pada jabatan Perhilitan. Saya setuju dengan tindakan jiran yang membuat laporan pada bomba,” ujarnya.

Ara berasa terkilan dan rimas dengan tindakan netizen.

Selain itu, Ara berkata dia berasa terkilan dan rimas dengan tindakan netizen yang mengaitkan dirinya dengan insiden berkenaan.

“Saya tahu pun sebab ibu mesej tanya betul ke saya kena tahan kerana kawan-kawan dan saudara mesej dan tag ibu di Facebook.

“Kena kecam pun rimas ini kan pula kena maki disebabkan perkara yang saya tak buat.

“Orang lain yang buat tapi saya yang kena,” katanya.

Terdahulu, sebuah media melaporkan seorang penyanyi wanita berusia 20-an ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) selepas didapati memelihara dan menyimpan seekor beruang matahari secara haram di dalam kondominiumnya, di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Berdasarkan maklumat daripada orang awam, beruang itu yang ditinggalkan sejak dua hari lalu disebabkan penjaganya pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Ara Johari, beruang matahari

Artikel Lain