suria

Rabbani tak berkira soal bayaran, majlis cukur jambul pun terima!

Rabbani masih boleh bertolak ansur tentang bayaran persembahan.

DEMI mengekalkan nama dan meneruskan legasi irama nasyid, Kumpulan Rabbani berkata mereka tidak meletakkan harga tinggi untuk setiap kali undangan persembahan.

Menurut salah seorang anggotanya iaitu Azadan Abdul Aziz, 45, kumpulan ini tidak pernah berkira tentang bayaran dan menerima apa jua undangan termasuklah majlis cukur jambul.

"Sejujurnya, kami terima apa sahaja jemputan dan tak pernah berkira tentang harga atau bayaran. Kita masih boleh bertolak ansur.

"Walaupun hanya majlis cukur jambul atau kenduri kesyukuran, kalau sesuai dengan jadual kami akan pergi," katanya kepada mStar.

Azadan.

Azadan ditemui pada majlis pengumuman majlis berbuka puasa Iftar @Garden Palace di DSaji Titiwangsa, di Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Azadan berkata mereka bertolak ansur mengenai bayaran dengan niat untuk membantu meringankan beban kewangan pelanggan.

Bagaimanapun, dia berharap tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan di atas ruang dan peluang yang diberikan.

"Pernah ada sekali tu sekitar tahun 2007, seorang wanita menawarkan harga RM1,500 untuk memeriahkan majlis anak perempuannya yang terakhir, kami tetap terima.

Sembilan kumpulan nasyid popular akan menghiburkan pengunjung di majlis Iftar @ Garden Palace sepanjang Ramadan ini.

"Kita tengok juga kemampuan pelanggan dan janganlah mereka itu orang yang berada dan berkemampuan tapi minta harga rendah pula," katanya.

Bercakap mengenai Majlis Iftar @ Garden Palace, Azadan berkata, selain Rabbani, sembilan lagi kumpulan nasyid bakal membuat persembahan bergilir-gilir mengikut hari sempena majlis berbuka puasa Ramadan nanti.

"Kami, Rabbani Event and Management akan menampilkan kumpulan seperti Raihan, Hijjaz Inteam, Saujana, Unic dan ramai lagi pada majlis tersebut.

"Pelanggan berpeluang menerima diskaun sebanyak 20 peratus jika membuat tempahan awal pada April ni, manakala diskaun sebanyak 50 peratus untuk mereka yang datang pada hari pertama dan kedua.

"Selain itu, mereka juga berpeluang membawa pulang cabutan bertuah daripada penaja," katanya.

Rabbani

Artikel Lain