“Saya dah muak dengan kontroversi” - Raja Azmi muncul pula dengan ‘Jerangkung Dalam Almari’ - Hiburan | mStar

“Saya dah muak dengan kontroversi” - Raja Azmi muncul pula dengan ‘Jerangkung Dalam Almari’

Raja Azmi tidak serik untuk berkarya tapi kali ini tanpa kontroversi lagi.

TIDAK serik... Itulah perkataan sesuai ditujukan buat produser kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman selepas dia berhasrat menerbitkan sebuah filem seram yang bakal menjalani penggambaran Isnin depan.

Raja Azmi, 60, berkata, karya itu berjudul Jerangkung Dalam Almari ialah buah tangan terbaharunya selepas …Dalam Botol yang penuh kontroversi ditayangkan pada 2011.

“Selepas lapan tahun, tibalah masanya untuk saya membuktikan saya masih lagi cintakan dunia seni tetapi karya terbaru ini bukan macam ...Dalam Botol. Filem baru saya ini tidak lagi kontroversi kerana saya sudah muak dengan hal-hal kontroversi,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Raja Azmi & Eddie Sah Bergelar Suami Isteri Buat Kali Kedua

Filem …Dalam Botol antara karya kontroversi Raja Azmi apabila tajuk asalnya iaitu Anu Dalam Botol terpaksa ditukar atas arahan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF). Ia mengisahkan seorang maknyah insaf selepas membuat keputusan menukar jantina lakonan Arja Lee.

Raja Azmi berkata, Jerangkung Dalam Almari  ialah usaha sama antara NorthStar Prodigy Picture Sdn Bhd dan syarikatnya iaitu Akid Productions Sdn Bhd.

Raja Azmi (kanan) bersama pelakon baharu, Sofia Albarakbah.

Tambahnya, idea menghasilkan Jerangkung Dalam Almari ini tercetus selepas Shadan yang juga menantunya berkongsi hasrat mempunyai sebuah kisah seram untuk difilemkan.

Selepas meneliti kisah itu, Raja Azmi telah bertemu dengan rakan kongsi yang setuju untuk melabur dalam karya berkenaan sebelum skripnya ditulis oleh Shadan sendiri.

“Saya percaya kisah seram tidak akan mati dalam diri masyarakat kerana satu dunia sukakan cerita seram. Sebagai contoh bagaimana Thailand dan Korea serta beberapa negara lain terkenal dengan penghasilan cerita-cerita seram.

Pada usia sekarang ni saya nak cari ketenangan selain memikirkan tentang penghujung hidup ini. Saya tidak mahu lagi menempuh hal-hal negatif sebaliknya saya mahu sokongan orang ramai untuk berkarya.

RAJA AZMI

PRODUSER

“Sebab itu saya yakin, cerita seram sentiasa ‘evergreen’ dan ia tak akan luput atau pupus sampai bila-bila,” katanya.

Ditanya kenapa selepas lapan tahun dia mengambil masa untuk muncul semula Raja Azmi berkata, sebelum ini dia dihimpit dengan pelbagai ujian dalam rumah tangga termasuklah isu perceraian.

Bagaimapun selepas segala ujian itu berjaya diharungi dengan baik, maka ketika ini adalah masa terbaik untuk dia mencari ketenangan tanpa kontroversi sedemikian lagi.

Arja Lee (kanan) bersama Wan Raja dalam ...Dalam Botol yang penuh kontroversi.

“Pada usia sekarang ni saya nak cari ketenangan selain memikirkan tentang penghujung hidup ini. Saya tidak mahu lagi menempuh hal-hal negatif sebaliknya saya mahu sokongan orang ramai untuk berkarya,” katanya.

Filem yang menelan belanja kira-kira RM800,000 ini mengisahkan kehidupan pasangan suami isteri bersama anak kecil mereka yang hidup dalam ketakutan apabila bayangan jerangkung sering mengganggu di rumah mereka.

Akhirnya si suami iaitu Fikri mendapat tahu kelibat jerangkung itu ialah pebuatan sihir daripada seorang bomoh yang pernah menyimpan dendam terhadap ibu dan bapanya.

Sehinggalah pada suatu hari Fikri dan keluarga pulang ke rumah pusaka di kampung yang didiami abangnya untuk mencari punca mengenai kehidupan misterinya sehinggalah dia menemui sebuah almari lama di rumah tersebut yang membongkar apa sebenarnya berlaku.

Dalam pada itu Raja Azmi turut merakamkan terima kasih kepada produser Mohd Noor Kadir, Datuk A. Aida, David Teo dan Datuk Rosyam Nor kerana banyak memberinya peluang dalam dunia penerbitan dan lakonan selama ini.

Raja Azmi , Jerangkung Dalam Almari

Artikel Lain