Amylea & Kaer tak mahu bawa aura 'Nur' di AJL 33 - Hiburan | mStar

Amylea & Kaer tak mahu bawa aura 'Nur' di AJL 33

Amylea & Kaer akui gementar. - FOTO THE STAR

PASANGAN duet Amylea dan Kaer gementar untuk membuat persembahan menerusi lagu Tak Pernah Hilang pada pentas Anugerah Juara Lagu ke 33 (AJL33) yang bakal berlangsung 3 Februari depan.

Amylea yang juga penulis lirik lagu tersebut berkata, dia mahu karya berkenaan berdiri sendiri tanpa dibayangi drama Nur.

"Kami mahu lagu ini berdiri sendiri tanpa dibayangi drama Nur atau apa-apa.

"Biar orang mendengarnya lirik dan melodinya dengan interprestasi mereka sendiri," ujarnya kepada mStar Online.

Lagu Tak Pernah Hilang meraih populariti selepas menjadi lagu tema untuk drama popular Nur yang dibintangi oleh Amyra Rosli dan Syafiq Kyle.

Barisan artis yang bakal bersaing di AJL 33.

Amylea dan Kaer ditemui pada majlis pelancaran Anugerah Juara Lagu ke 33 (AJL 33) yang diadakan di Hotel Empire, pada Khamis.

Menurut Kaer, lagu tersebut memerlukan dia memberi penghayatan sepenuhnya sehingga sampai ke hati pendengar.

“Lagu ini memerlukan penghayatan, jika penghayatan tidak sama dengan muzik ia akan gagal.

“Saya kena fikir apa yang membuatkan saya betul-betul sedih. Kami tidak ada lakonan di atas pentas, jadi apa yang kami nyanyi sahaja yang buat orang rasai," ujarnya.

Mengulas perjalanan lagu tersebut, Kaer berkata, dia tidak menyangka lagu Tak Pernah Hilang membawa mereka sejauh itu.

"Kami terlalu teruja kerana tidak pernah terfikir sampai ke tahap ini. Selama ini kami jarang keluar dan dikenali seperti penyanyi lain.

"Pada awalnya sasaran kami hanya 50,000 tontonan youtube sahaja dan tidak sangka perjalanan sampai ke pentas AJL," ujarnya.

Amylea Azizan , Kaer , AJL33 , Nur , Tak Pernah Hilang

Artikel Berikut