suria

Atas nasihat keluarga Nelydia Senrose tarik diri dalam ‘Nur 2’

Pelakon Nelydia Senrose menarik diri daripada membawa watak sebagai Juita menerusi drama sekual Nur 2. Foto Instagram @nelydiasenrose & @budakijat

DRAMA sekuel popular Nur  yang dijangka menjalani penggambaran pada awal Januari nampaknya sudah mempunyai plot 'twist' apabila salah seorang pelakonnya, Nelydia Senrose menarik diri pada saat-saat akhir.

Pengarahnya, Shahrul Ezad memberitahu Nelydia yang sepatutnya memegang watak sebagai Juita membuat keputusan itu selepas berbincang dengan keluarganya dan mereka tidak bersetuju dia membawa peranan itu yang berat.

Keputusan dibuat Nelydia itu ketika dia mengerjakan ibadah Umrah di kota suci Makkah.

"Secara rasminya saya nak umumkan yang Nelydia Senrose tak jadi menyertai barisan pelakon Nur 2 disebabkan sebab peribadi yang saya hormat.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan Sharifah Rose tapi Nelydia Senrose yang bakal bintangi 'Nur 2' - Pengarah

Shahrul memuat naik perbualannya dengan Nelydia yang memberitahu tentang keputusan menarik diri.

"Mungkin watak itu terlalu 'daring' untuk dia yang sedang mengerjakan Umrah sekarang," kata Shahrul Ezad menerusi Instagram.

Shahrul turut memuat naik paparan skrin perbualannya dengan Nelydia mengenai penarikan dirinya dalam projek itu.

Nur 2 bakal menyaksikan pembabitan pelakon terkenal seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Raja Atiq, Rina Diana, Fatimah Abu Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan, Laila Nasir, Norkhiriah dan Azhan Rani.

Ia dijangka akan ditayangkan di TV3 pada pertengahan Mac depan.

Dalam pada itu, Shahrul berkata sebagai pengarah dia berasa serabut memikirkan pengganti untuk watak Juita memandangkan keputusan Nelydia menarik diri dibuat pada saat-saat akhir.

Nur 2 masih mengekalkan Syafiq Kyle dan Amyra Rosli sebagai watak utama.

Pun begitu kata Shahrul, dia tidak menyalahkan Nelydia malah memahami keputusan aktres itu.

"Susah-susah kang aku jer pegang watak tu. Dengan pencahayaan, abam (abang) rasa macam boleh masuk jer, suara kena dubbinglah... Haha.

"Apa-apa pun kepada Nelydia, jangan bimbang. Abam faham dik. Semoga awak dikurniakan Umrah yang mabrur ya. Amin, Insya-Allah," tulisnya.

Sementara itu, dalam ruang komen status berkenaan, pengikutnya mencadangkan beberapa nama untuk watak Juita seperti Wan Sharmilla, Izara Aishah, Fasha Sandha, Ayda Jebar dan Siti Saleha sebagai pengganti.

Nelydia Senrose, Nur 2

Artikel Lain