Nam Ron teruja ‘One Two Jaga’ tembusi Netflix - Hiburan | mStar

Nam Ron teruja ‘One Two Jaga’ tembusi Netflix

Nam Ron teruja apabila filem arahannya One Two Jaga ditayangkan di platform strim Netflix. Foto NORAFIFI EHSAN

PENGARAH dan pelakon Nam Ron memberitahu dia teruja apabila filem arahannya One Two Jaga berjaya menembusi platform perkhidmatan strim video terbesar Netflix sejak 1 Disember lalu.

Nam Ron memberitahu apa lebih mengujakan apabila karyanya itu dapat diakses penonton di seluruh dunia malah berharap ia mendapat sambutan baik dalam kalangan penggemar filem.

"Pihak kami bertemu dengan wakil Netflix untuk kerjasama itu dan Alhamdulillah mereka tertarik dengan filem itu dan bersetuju untuk jadikan ia sebagai Netflix Original Movies.

"Alhamdulillah One Two Jaga sedang ditayangkan di Netflix sejak awal Disember lalu untuk siaran di seluruh dunia.

Nam Ron menerima sijil penghargaan daripada Gobind. 

"Pada saya ia satu kejayaan kerana Netflix sangat popular sekarang malah ia sudah pun mula mendapat ulasan daripada pengkritik dari Amerika selain respons penonton yang positif di luar negara," katanya kepada mStar Online.

Nam Ron ditemui pada majlis pelancaran Portal Malaysia Creative Industry Exchange (MCIX) yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Gobind Singh Deo di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Hulu Klang, Selasa.

MCIX merupakan inisiatif kerajaan dalam menyediakan sebuah platform direktori digital interaktif serta hab sehenti jaringan utama industri kreatif negara.

Menerusi portal itu ia turut merangkumi profil karyawan berdaftar, data perfileman, promosi, pemasaran bakat, serta maklumat berkaitan yang boleh diakses secara dalam talian.

Gobind melancarkan Portal Malaysia Creative Industry Exchange (MCIX).

Pada majlis sama, 10 buah filem tempatan diberikan penghargaan atas pencapaian di peringkat global bagi tahun 2018 termasuk Redha, Adiwiraku, Guang, Interchange, A House of Happiness dan One Two Jaga.

Mengulas mengenai penghargaan itu, Nam Ron berkata, sebagai pengarah dia lebih bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak karya terbaik pada masa hadapan.

"Kita bawa filem ini ke luar negara pun kerana mahu mengharumkan nama negara dan sekiranya tidak diberi penghargaan pun tidak mengapa kerana sebagai pembikin filem kami tetap akan buat.

"Apabila dapat penghargaan sebegini ia sedikit sebanyak menaikkan semangat itu dan Insya-Allah akan ada lagi karya-karya lain daripada saya," katanya.

One Two Jaga yang menampilkan barisan pelakon seperti Zahiril Adzim, Amerul Affendi, Rosdeen Suboh, Kin Wah Chew dan Iedil Putra ditayangkan pada September lalu.

Dalam perkembangan lain, Nam Ron berkata, dia kini sedang sibuk dengan proses akhir filem terbaharu arahannya iaitu Masterpiecisan yang dijangka akan ditayangkan pada tahun hadapan.

Nam Ron , One Two Jaga , Netflix

Artikel Sebelum

“Ernie adalah orang pertama” - Syamel

Artikel Lain