suria

Uqasha Senrose gementar pertama kali bakal tunai umrah

Uqasha gementar menanti 26 Disember ini. Foto: NORAFIFI EHSAN

PELAKON Uqasha Senrose memberitahu dia bersama keluarganya bakal mengerjakan ibadah umrah pada 26 Disember ini.

Menurut Uqasha, 26, ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah dan perancangan ini telah diatur oleh ibunya sejak tahun lalu.

"Dari tahun lepas mama rancang buat umrah ni dan akhirnya hujung tahun ini kami adik-beradik dapat cari waktu cuti yang sama.

"Mama selalu cakap pergi cuti sana-sini boleh... apa salah pergi umrah dan melawat tempat suci umat Islam.

"Alhamdullilah, hujung tahun ini rezeki kami sekeluarga dijemput ke sana," katanya kepada mStar Online.

Uqasha ditemui semasa penggambaran dan sidang media drama komedi Spanar Jaya X di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, pada Isnin.

Uqasha bersama adik beradik yang lain termasuk Nelydia dan Raysha akan mengerjakan ibadat umrah.

Sementara itu, Uqasha berkata dia ada mengikuti kelas agama bagi menambah ilmu dan panduan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Pun begitu, pelakon drama Hero Seorang Cinderella ini mengaku masih berasa gementar untuk mengerjakan ibadat tersebut.

"Memang gementar, takut pun ada. Sekarang ni saya ada mengikuti kelas dan belajar tentang apa yang perlu kita lakukan di sana nanti.

"Doakan semoga semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan ya!," ujarnya.

Bercakap mengenai Spanar Jaya X, Uqasha membawakan watak Syasya inspirasi karakter yang pernah dilakonkan oleh Wardina Safiyyah.

Barisan pelakon Spanar Jaya X. Dari kiri, Douglas, Uqasha, Ben Amir dan Sangeeta.

"Saya ada tonton Spanar Jaya versi asal di Youtube untuk tahu serba sedikit tentang perjalanan drama ini.

"Penggambaran selama seminggu agak padat, mujurlah pengarah Ahmad Idham banyak membantu dan semuanya berjalan lancar.

"Apa yang saya boleh kata, watak dan jalan cerita Spanar Jaya X ini berbeza dengan versi asal dan akan mengimbau kembali kenangan lalu,” katanya.

Sitkom terbitan Enfiniti Production ini bakal ditayangkan di TV3 setiap Sabtu bermula 2 Februari tahun depan.

Selain Uqasha, drama ini turut dibintangi oleh Opie Zami, Ben Amir, Dougles Lim, Sangeeta, dan Teh Yang.

Uqasha Senrose

Artikel Lain