suria

Kaka Azraff akhirnya jadi isteri Adam Azriff

Kaka selamat dinikahkan dengan usahawan Adam Azriff pada Jumaat malam.

HANYA dengan sekali lafaz, penyanyi Kaka Azraff dan seorang usahawan iaitu Adam Azriff selamat bergelar suami-isteri kira-kira pukul 9.53 malam, Jumaat.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 29, dan pasangan dinikahkan oleh Ustaz Azmi Selamat dengan mas kahwin RM300.

Kaka diwalikan oleh bapa saudaranya iaitu Nor Izam Aminuddin.

Majlis pernikahan diadakan di kediaman penyanyi itu di Klang, Selangor dalam suasana sederhana dan dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan kenalan rapat.

Mengangkat tema Melayu Klasik, Kaka kelihatan anggun mengenakan busana kebaya putih disamping suami yang nampak segak dalam persalinan warna serupa.

Kaka dan suami menzahirkan rasa syukur mereka kepada Allah dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas doa restu serta ucap selamat dalam meraikan penyatuan kasih mereka itu.

“Alhamdulillah, majlis pernikahan saya dan Adam berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada Allah dan semua pihak atas doa restu dan ucapan selamat untuk kami berdua,” kata Kaka dalam satu kenyataan dikeluarkan syarkat rakamannya, Warner Music sejurus majlis selesai.

Dalam pada itu majlis resepsi kedua-dua mempelai akan diadakan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Menerusi laporan mStar Online pada 9 Disember lalu, Kaka menafikan spekulasi dia sudah mengikat tali pertunangan namun mengakui telah dirisik keluarga pemuda itu dalam sebuah majlis yang diadakan pada 27 November lalu.

Bercakap mengenai percintaannya dengan Adam, Kaka memberitahu dia mengenai rapat jejaka berasal dari Kuala Lumpur itu sejak setahun lepas dan mula menjalinkan hubungan cinta tiga bulan lalu.

Malah Kaka mendedahkan dia yang telah melamar Adam selepas merasakan teman lelakinya itu menepati ciri-ciri yang dicari untuk dijadikan pasangan hidup.

Kaka Azraff, Adam Azriff

Artikel Lain