PRAMUGARA tular, Hafeez Al-Bukhary Zulkefly, menghembuskan nafas terakhir pada petang Khamis akibat kanser kolon.Berita duka itu dikongsikan sepupunya, Hani Mishan menerusi satu hantaran di media sosial. "Assalamualaikum. Baru dapat perkhabaran dukacita dari kakak Hafeez. Dengan penuh rasa dukacita dimaklumkan bahawa Hafiz Bukhari bin Zulkefly telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah. "Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, melapangkan kuburnya, dan mengurniakannya syurga Firdaus. Amin," tulisnya dalam hantaran di Threads sebentar tadi.Sementara itu, penyanyi yang juga pengacara podcast Borak Dalam Galley (BDG), Zarul Umbrella turut memuat naik hantaran meluahkan rasa sedih dengan pemergian Hafiz. ARTIKEL BERKAITAN: Popular dengan video layan penumpang dalam pesawat, sepupu dedah pramugara tular kritikal akibat kanser"Selamat jalan sahabat, semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohmu, menempatkanmu dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman. Al Fatihah," tulisnya.Hantaran tersebut dibanjiri dengan luahan rasa sebak warga maya yang turut terkesan dengan pemergian pramugara berkenaan. Hafiz berkongsi dirinya didiagnos menghidap kanser kolon (usus) tahap empat pada tahun lalu."Semoga Hafeez tenang di sana. Terima kasih sebab selalu bawa kami virtually melepaskan rindu di Tanah Suci."Meninggal malam Jumaat. Ramai yang mendoakan beliau. Allahu. Al-Fatihah buat arwah."Allahuakbar... 'Dan orang yang mati kerana penyakit perut (adalah) syahid'. (HR. Muslim) dan pergi malam Jumaat. Husnul khotimah. Bergembiralah di taman syurga.Sebelum ini, Hafiz, 42, dilaporkan kritikal dan dibawa pulang ke kampung halamannya di Perak.Dalam satu hantaran di Instagram pada 27 Ogos 2025, Hafiz pernah mendedahkan dia didiagnos menghidap kanser kolon (usus) tahap empat.Untuk rekod, Hafiz yang memiliki hampir 300,000 pengikut di TikTok popular kerana sering berkongsi videonya menyantuni jemaah ke Tanah Suci yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS).