suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Dr Sam nafi PAS ada ‘skandal’ politik dengan BN, cuma tak mahu undi hanyut ke PH!

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. -Foto The Star

PAS menafikan wujud sebarang rundingan atau kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, walaupun parti itu mengarahkan penyokongnya mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tanggapan kononnya PAS dan BN sedang bekerjasama hanyalah persepsi serta spekulasi orang ramai.

Ujar Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS, PN hanya bertanding di 33 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sekali gus memerlukan pertimbangan mengenai hala tuju undi penyokong di kawasan yang tidak ditandingi gabungan itu.

"Persepsi di luar mengatakan ada kerjasama, tetapi apa yang berlaku hanyalah persefahaman berdasarkan hakikat bahawa PN tidak bertanding di semua 56 kerusi.

"Di kawasan yang PN tidak bertanding, perlu ada pertimbangan mengenai ke mana undi harus diberikan," kata Ahmad Samsuri yang juga dikenali sebagai Dr Sam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan mesra bersama calon PN bagi DUN Maharani, Anuar Hayan, di Bandar Maharani pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: PAS sokong calon BN bukan isu perkauman, Onn Hafiz anggap cubaan takutkan pengundi

Menteri Besar Terengganu itu berkata demikian ketika diminta mengulas arahan PAS supaya ahli serta penyokongnya mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN.

Menurut PAS, langkah itu dibuat bagi mengelakkan undi penyokong PN beralih kepada Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri menegaskan keputusan tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai satu bentuk kerjasama politik antara PAS dan BN.

"Tiada sebarang perbincangan atau rundingan politik antara PAS dan BN.

"Kami memberi tumpuan kepada jentera parti masing-masing serta kempen sendiri," katanya.

PRN Johor ke-16 yang akan berlangsung pada 11 Julai menyaksikan BN dan PH masing-masing bertanding di kesemua 56 kerusi DUN.

PH mempertaruhkan 56 calon, terdiri daripada 20 calon PKR, 19 calon Amanah dan 17 calon DAP.

BN pula yang berusaha mempertahankan pentadbiran negeri dengan meletakkan 56 calon menerusi 37 calon Umno, 15 calon MCA dan empat calon MIC.

Sementara itu, PN bertanding di 33 kerusi dengan mempertaruhkan 16 calon Bersatu, 11 calon PAS, seorang calon Pejuang dan lima calon daripada Parti Rakyat India Malaysia (MIPP). -The Star

Artikel Lain