suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Lapan maut, lebih 20 cedera! Budak lelaki 11 tahun pandu trak pikap rempuh puluhan sami sedang berjalan ibadah

Lokasi kemalangan membabitkan sebuah trak pikap yang dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di Mukdahan. -Foto AeEw Nucharee/Thaiger

SEKURANG-KURANGNYA lapan orang sami maut, manakala lebih 20 lagi cedera selepas sekumpulan penganut agama itu dirempuh sebuah trak pikap yang dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, pada Khamis.

Tragedi menyayat hati itu berlaku kira-kira pukul 11.55 pagi di lebuh raya utama berhampiran pintu masuk Huai Sing, dalam daerah Mueang, di wilayah Mukdahan, Thailand.

Pasukan penyelamat dan petugas perubatan bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

Menurut pihak polis, lima orang sami disahkan maut di tempat kejadian akibat impak rempuhan yang kuat, manakala tiga lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Sementara itu, 13 lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Mukdahan serta beberapa hospital berhampiran, manakala belasan sami lain dilaporkan sekadar cedera ringan.

Siasatan awal mendapati trak pikap jenis Isuzu itu dipandu seorang budak lelaki berusia 11 tahun tanpa kebenaran dan pengetahuan ibu bapanya, sebelum hilang kawalan lalu merempuh kumpulan sami berkenaan.

Menurut laporan Amarin TV, seramai 34 sami ketika itu sedang berjalan kaki dalam satu perjalanan ibadah dari Mukdahan menuju ke wilayah Ubon Ratchathani.

Seorang pegawai peronda lebuh raya yang tiba di lokasi mengakui beliau pada mulanya menyangka insiden tersebut merupakan sebahagian daripada latihan kecemasan kerana jumlah mangsa yang ramai.

Dalam pada itu, kanak-kanak terbabit telah dibawa ke Balai Polis Mueang Mukdahan bagi membantu siasatan.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. -Agensi

Artikel Lain