suria

Anne Ngasri bakal dapat anak kelima hujung tahun

Anne Ngasri tidak sebar menerima anak perempuan yang dijangka bakal dilahirkan hujung tahun ini. FOTO: Qayum Azizi

KUALA LUMPUR: Pelakon Datin Anne Ngasri bakal menimang cahaya mata kelima pada Disember depan.

Anne atau Nasriah Ngasri, 34, berkata, kandungannya kini sudah memasuk usia tujuh bulan dan dijangka memperoleh cahaya mata perempuan.

“Alhamdulillah kandungan saya sudah memasuki usia tujuh bulan dan dijangka akan bersalin pada Disember depan.

“Kalau ikut daripada imbasan doktor memberitahu kami bakal menimang cahaya mata perempuan,” katanya kepada mStar Online.

Anne ditemui di lokasi penggambaran filem Hero yang diadakan di Balai Bomba Pusat, Jalan Hang Tuah di sini, Selasa.

Anne Ngasri hamil tujuh bulan.

Filem terbitan NS Star Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu menampilkan barisan pelakon seperti Hisyam Hamid, Mark Adam, Bell Ngasri, Syafiq Farhain, Elisha Sandha dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Mengangkat kisah mengenai anggota bomba, filem itu dijangka menemui penonton pada tahun hadapan.

Dalam pada itu, Anne memberitahu dia dan suami, Datuk Mohd Sumali Reduan tidak merancang kehamilan itu namun gembira apabila diberitahu bakal menimang cahaya mata perempuan.

Kata Anne lagi, anak-anaknya paling gembira dengan berita berkenaan dan tidak sabar untuk bertemu adik baharu mereka.

“Anak saya yang terakhir pun sudah masuk usia lima tahun dan apabila dapat tahu saya hamil mula-mula terkejut juga kerana kami tidak merancang.

“Pun begitu perasaan teruja itu ada terutamanya anak-anak kerana bakal dapat adik perempuan.

“Rasanya mungkin sekarang masa sesuai untuk timang anak lagi memandangkan emlat anak saya yang lain sudah pun besar,” ujarnya.

Anne bersama suaminya, Datuk Sumali. FOTO: Instagram Anne Ngasri.

Bercerita mengenai pengalaman kehamilannya kali ini, Anne berkata, ia tidak banyak beza namun mengakui gemar makan aiskrim sepanjang mengandung.

Tambahnya, dia pertama kali merasai pengalaman minum air gula ketika melakukan pemeriksaan bagi memastikan paras gula dalam badan berada dalam keadaan stabil.

“Ya Allah! Seksanya nak telan air gula tu... Empat kali saya hamil sebelum ini belum pernah kena minum air itu.

“Ia pengalaman baru buat saya walaupun sudah empat kali bersalin. Mengidam itu tidak ada sangat cuma saya gemar makan aiskrim,” jelasnya.

Bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, Anne berkata, selain menguruskan rumah tangga, dia juga sibuk membantu kakaknya, pelakon dan penerbit Darling Ngasri dalam penerbitan filem Hero.

Masih mahu terus berlakon, selepas bersalin dia berhasrat untuk kembali aktif sekiranya ada tawaran bersesuaian.

“Lakonan sudah jadi darah daging saya... Sejak kecil saya berlakon jadi mana mungkin saya tinggalkan begitu sahaja.

“Kalau ada watak dan masa yang sesuai memang saya akan terima,” katanya.

Pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Cili Padi  ini mendirikan rumah tangga dengan Sumali, 46, pada 22 Disember 2012.

Menerusi perkahwinan itu, Anne dan Sumali dikurniakan seorang anak lelaki Sufi Harraz yang kini berusia lima tahun.

Hasil perkahwinan terdahulu bersama bekas suami, Abdul Wafi Hassan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Abdul Warits, 12, Abdul Wafri, 10, dan Nazharah Afrozah, 8.

Darling Ngasri, Sumali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain