suria

Hairul Azreen, Ammar Alfian nyaris diculik lanun kenyataan tak benar

Hairul Azreen menjadi anggota keselamatan dalam Paskal. FOTO: Instagram Hairul Azreen.

PETALING JAYA: Pelakon Hairul Azreen dan Ammar Alfian tidak terlibat dalam insiden kononnya mereka nyaris menjadi mangsa culik lanun ketika penggambaran filem Paskal di Semporna, Sabah pada pertengahan tahun ini.

Produksi yang menerbitkan karya itu, Asia Tropical Films memaklumkan, pihaknya sekadar dimaklumkan daripada Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bahawa lokasi kawasan tersebut iaitu Pelantar Tun Sharifah Roziah hanyalah ‘kawasan panas’.

Ia disebabkan penggambaran yang dilakukan di sebuah pelantar minyak itu berdekatan dengan negara Filipina yang sering terdedah kepada ancaman lanun dan penculikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hairul Azreen Dipanggil Polis Menembak Tanpa Lesen

“Pihak kami ingin mejelaskan bahaya kenyataan tersebut (yang dibuat Hairul Azreen) adalah tidak tepat.

“Kami hanya menerima penerangan daripada pihak Paskal dan TLDM bahawa lokasi penggambaran tersebut adalah kawasan panas ancaman lanun dan penculikan kerana lokasi pelantar minyak tersebut berdekatan dengan Filipina,” kata kenyataan itu.

Ammar Alfian antara pelakon filem Paskal. FOTO: Instagram Ammar Alfian.

Tambah kenyataan itu, Hairul Azreen dan Ammar Alfian hanya diberitahu mengenai keadaan keselamatan di lokasi penggambaran dan tiada pihak yang menjadi sasaran lanun semasa penggambaran di pelantar minyak itu.

Hairul Azreen, 30, semasa sidang media filem itu Selasa lalu mendakwa dia dan Ammar Alfian, 31, berdepan detik cemas kerana nyaris menjadi mangsa culik ketika di sebuah pelantar minyak bagi menyelesaikan beberapa babak filem berkenaan.

Paskal akan ditayangkan pada 27 September depan.

Kenyataan Hairul itu mendapat reaksi Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali, yang menyifatkan ia tidak berasas sama sekali.

Beliau seperti dilaporkan media berkata, semasa penggambaran dilakukan, semua pelakon dan kru disertai pasukan keselamatan terlatih bagi mengawal keadaan.

Kelihatan Hairul Azreen (dua dari kiri) dan Ammar Alfian (kanan) dan mereka yang terlibat dalam Paskal.

Ujarnya kenyataan Hairul itu boleh mengundang persepsi negatif orang ramai mengenai tahap keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah selain ia publisiti murahan.

Katanya, tindakan undang-undang boleh diambil jika seseorang membuat kenyataan tidak benar sehingga boleh mendatangkan keresahan kepada masyarakat mengenai hal ehwal keselamatan.

Pada awal tahun ini, Hairul Azreen tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah bagi memberi keterangan berhubung kes melepaskan tembakan ke udara tanpa memiliki lesen di Kampung Parit Jerman, Sitiawan, dua tahun lalu.

Video insiden melibatkan Hairul Azreen menggunakan senapang patah dipercayai dirakam pada 26 Julai 2016 itu tular di laman sosial YouTube.

Harul Azreen, Ammar Alfian

Artikel Lain