suria

Sama nasib macam Aishah, Liza Hanim boleh bersabar isu tanah lot

Hadiah tanah lot yang dijanjikan kepada Aishah dan Liza Hanim masih belum diterima. Foto: IZZRAFIQ ALIAS / The Star

PENYANYI Liza Hanim berkata dia lebih selesa untuk tidak memperbesarkan isu tuntutan hadiah tanah lot yang dimenangi selaku naib juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Menurut Liza, dia percaya perkara tersebut akan dapat diselesaikan dengan cara baik menerusi perbincangan bersama penaja.

"Saya lebih selesa untuk tidak memperbesarkan isu ini kerana percaya ia mampu diselesaikan dengan baik.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya pun artis, takkan saya nak tipu lot tanah tu” - Amir Pearl

"Sejujurnya saya beruntung kerana berada di bawah pengurusan yang sentiasa membantu termasuklah menguruskan hal ini dengan penaja.

"Apabila isu ini viral, mereka (penaja) ada hubungi dan beritahu masalah yang dihadapi, jadi kita tunggu sahajalah," katanya kepada mStar Online.

Liza Hanim masih sabar menunggu hadiah yang dijanjikan.

Pada Sabtu lalu, juara GV4 iaitu Aishah mendedahkan dia masih belum mendapat hadiah sebidang tanah lot banglo selepas hampir setahun menjuarai program tersebut.

Selain Aishah sebagai juara, naib juara GV4 iaitu Liza Hanim dan pemenang tempat ketiga ialah Lan Solo. Ketiga-tiga mereka dijanjikan lot tanah selain hadiah iringan sumbangan pihak Astro dan penaja lain.

Dalam pada itu, Liza memaklumkan ketiga-tiga pemenang bakal bertemu dengan penaja tanah lot tersebut iaitu Datuk Seri Mohd Amir Mohd Esa pada awal September ini.

"Penaja berjanji untuk jumpa kami bertiga selepas sambutan Hari Kebangsaan, jika itu permintaannya kami okay sahaja.

"Buat masa ini ada komunikasi antara kami dan penaja, sebab itu saya tak mahu memperbesarkan hal ini melainkan perbincangan itu kelak tiada jalan penyelesaian," ujarnya.

Sementara itu, Liza memberitahu sepanjang 21 tahun bergelar anak seni dia masih belum pernah berdepan penipuan membabitkan hadiah.

Penaja hadiah tanah lot, Amir yang juga merupakan vokalis kumpulan Pearl.

Penyanyi lagu Siapa Sangka Siapa Menduga ini berkata dia memegang prinsip setiap apa yang dijanjikan pasti akan diperolehi sama ada lambat atau cepat.

"21 tahun jadi artis tak pernah lagi tak dapat hadiah yang dijanjikan, ini kali pertama hadiah diterima lambat sikit.

"Saya percaya kalau itu hak kita, rezeki kita, kita akan dapat juga," katanya.

Sebelum ini, penaja iaitu Amir yang juga merupakan vokalis kumpulan Pearl berjanji akan menyelesaikan isu tuntutan hadiah berkenaan.

Ujarnya, kelewatan penyerahan tanah lot itu berpunca daripada masalah dalaman syarikatnya, Bina Megah Empire.

Liza Hanim

Artikel Lain