suria

Tak cedok idea artis luar, Faizal Tahir padam foto hanya gimik

PENYANYI popular Faizal Tahir memberitahu tindakannya sekadar berkongsi foto berkaitan single baharunya berjudul Ragaman dengan 'menyembunyikan' gambar-gambar lain hanyalah sekadar gimik.

Faizal berkata, dia mahu orang ramai yang melayari laman sosial Instagram miliknya itu memberi fokus terhadap lagu berkenaan semata-mata berbanding perkara lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Kembar’ Faizal Tahir Jangan Salah Guna Namanya

“Saya archive semua foto peribadi di Instagram dan meninggalkan foto berkaitan Ragaman adalah supaya orang menyedari dan beri tumpuan kepada lagu baru itu.

“Ia hanya satu gimik dan strategi pemasaran sahaja,” ujarnya kepada mStar Online.

Gambar dalam Instagram yang disimpan di arkib foto media sosial itu hanya membolehkan pemilik akaun sahaja menyaksikannya sementara orang lain tidak dapat melihatnya.

Faizal ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharunya berjudul Ragaman yang diadakan di pejabat Warner Music, pada Rabu.

Dalam pada itu, Faizal berkata, dia tidak meniru gimik selebriti antarabangsa yang sering menggunakan kaedah itu setiap kali muncul dengan produk baharu.

“Saya tidak terfikir pun untuk sengaja mengikut cara mana-mana selebriti tapi saya fikir ia sesuatu yang logik. Bila orang masuk ke akaun kita mereka akan tahu tentang perkara itu dahulu,” ujarnya.

Sebelum ini, penyanyi Taylor Swift dan Milry Cyrus mengejutkan laman sosial apabila memadam semua foto di IG sebelum melancarkan album baharu.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Sejati itu berkata, dia akan kembali berkongsi gambar-gambar tersebut semula tidak lama lagi.

“Jangan risau sekejap sahaja nanti saya akan kembalikan semula gambar-gambar tersebut,” ujarnya.

Dalam pda itu, bercakap tentang lagu berkenaan, Ragaman yang membawa maksud ragam itu merupakan ciptaan yang berbeza daripada sebelum ini.

Lagu bergenre reggae itu mendapat inspirasi daripada filem Madu Tiga ciptaan P Ramlee.

“Pada usia yang menjangkau 40 tahun ini saya cuba sesuatu yang berbeza dan segar. Saya juga rasa muda bila menyanyikan lagu ini,” ujarnya.

Faizal Tahir

Artikel Lain